MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA • Malaysia selaku negara anggota PBB mempunyai komitmen sepertimana yang termaktub di dalam Piagam PBB dan segala perisytiharan yang diterima pakai oleh PBB termasuklah UDHR. Bagi menunjukkan komitmen dalam melindungi hak asasi manusia, Malaysia telah menubuhkan sebuah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan. 10. Prinsip Paris • Prinsip berkaitan Status Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan telah dibangunkan ketika mesyuarat yang dianjurkan oleh PBB di Paris pada bulan Oktober 1991 melibatkan wakil-wakil institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) yang telah wujud. Prinsip Paris adalah piawaian minima antarabangsa yang diterima pakai oleh PBB dan mesti dipatuhi oleh semua NHRI dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. • Unsur utama Prinsip Paris merangkumi: i. Kebebasan: NHRI perlu bebas dari kekangan kerajaan dan mana-mana pihak berkepentingan. NHRI harus mempunyai kebebasan undang-undang, operasi, dasar dan kewangan. ii. Pluralisme: komposisi NHRI perlu mencerminkan “kepelbagaian sosial yang terlibat dalam promosi dan perlindungan hak asasi manusia”. iii. Mandat yang luas: memastikan bahawa NHRI dapat mempromosi dan melindungi semua hak asasi manusia yang diperakui undang-undang antarabangsa. iv. Fungsi yang luas: memastikan NHRI dapat menjalankan amanah dengan memberikan nasihat, memantau, menerima aduan dan menyampaikan pendidikan hak asasi manusia. v. Kuasa yang mencukupi: NHRI dapat menjalankan inkuiri dan penyiasatan, mengumpulkan bukti dan dokumen yang mereka perlukan, berunding dengan organisasi bukan kerajaan dan institusi negara serta menerbitkan laporan, penemuan dan syor mereka. vi. Sumber yang mencukupi: agar NHRI memiliki dana, staf, infrastruktur dan kemampuan institusi untuk melaksanakan fungsinya dan melaksanakan tanggungjawab mereka. vii. Kerjasama: tugas mempromosi dan melindungi hak asasi manusia yang berkesan memerlukan NHRI untuk berkolaborasi dengan institusi negara lain, NGO dan masyarakat sivil. viii. Penglibatan antarabangsa: NHRI dapat menyumbangkan pengetahuan dan kepakaran mereka kepada badan dan mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan serantau. 11. SUHAKAM: Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan • Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597. Penyertaan aktif Malaysia dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (United Nations Commission for Human Rights – UNCHR) pada tahun 1993 – 1995 mendorong penubuhan SUHAKAM. 21 

Выберите целевой абзац3