SYOR-SYOR 34. Di sini Panel ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya dan Panel sendiri mengakui dan menghormati kebebasan media untuk menyiarkan apa sahaja berita yang difikirkan layak dan menyuarakan apa sahaja pendapat yang dirasakan sesuai. Tetapi Panel juga berpendapat bahawa media haruslah lebih bertanggungjawab dan perlu menyiarkan berita yang seimbang dan dipastikan kesahihannya. Pihak pengurusan terutamanya penyunting haruslah lebih peka dan sentiasa memastikan kesahihan berita yang akan disiarkan. 35. Media seharusnya menyiarkan berita secara neutral dan memberikan maklumat yang penuh tentang sesuatu isu atau perkara tanpa memihak kepada manamana pihak. Liputannya juga haruslah dibuat secara tidak bias, berat sebelah dan prejudis. Begitu juga segala fakta berkenaan isu yang dibincangkan haruslah disiar untuk membantu masyarakat membuat penilaian sendiri. Ini adalah kerana media memainkan peranan yang penting dalam membantu masyarakat membuat penilaian yang betul terhadap apa-apa perkara atau isu, iaitu dengan membekalkan kepada masyarakat umum maklumat yang benar serta tepat dan dengan penuh tanggungjawab. 36. Panel juga mengambil maklum bahawa media mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik perhatian orang ramai. Di dalam memenuhi tanggungjawab ini, Panel berpendapat bahawa pengamal-pengamal media haruslah melunaskan tanggungjawab tersebut secara professional dan beretika. 37. Begitu juga hak untuk mendapat keselamatan dan kebebasan dari gangguan haruslah diambil kira dalam apa-apa penyiaran yang dilakukan oleh media. Sebarang maklumat tidak berkenaan yang mungkin akan menimbulkan isu keselamatan seperti alamat rumah dan nombor telefon persendirian mana-mana individu haruslah dielakkan dari disiarkan. 11

Выберите целевой абзац3