MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA GLOSARI ISTILAH Aksesi - tindakan negara menerima tawaran atau peluang untuk menjadi ahli dalam perjanjian yang sudah dirundingkan dan ditandatangani oleh negara lain. Ia mempunyai kesan undang-undang yang sama dengan ratifikasi. Aksesi biasanya berlaku setelah perjanjian tersebut telah berkuatkuasa. Badan triti – satu jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar bebas yang dilantik untuk menyemak pelaksanaan negara ahli sesuatu triti hak asasi manusia antarabangsa. Triti menggunapakai istilah “jawatankuasa” di dalam peruntukannya, tetapi ia lebih dikenali sebagai “badan triti” kerana ia ditubuhkan selaras dengan triti yang dipantau oleh jawatankuasa tersebut. Badan triti adalah tidak bebas daripada sistem PBB, walaupun mereka mendapat sokongan dari Sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan melapor kepada Perhimpunan Agung PBB. Kadangkala dikenali juga sebagai “badan pemantau triti”. Demokrasi – satu bentuk kerajaan di mana kuasa untuk mentadbir diperolehi daripada rakyat sama ada melalui referendum atau wakil yang dipilih oleh rakyat yang layak untuk mengundi dalam pilihanraya. Diskriminasi – apa-apa perbezaan, pengecualian, sekatan atau keistimewaan yang berasaskan kepada bangsa, budaya, asal usul etnik, kewarganegaraan, orientasi seks, agama, kecacatan atau apa-apa karakteristik lain yang yang bertujuan atau memberi kesan menafikan atau mengurangkan mana-mana individu daripada menikmati hak asasi manusia dan kebebasan asasi dalam bidang politik, ekonomi, sosial, budaya atau bidang kehidupan awam yang lain. Ekstradisi - proses pemindahan individu dari negara yang diminta ke negara yang meminta untuk pendakwaan atau hukuman jenayah. Prosedur ekstradisi biasanya ditentukan melalui perjanjian timbal balik antara dua negara atau perjanjian pelbagai hala antara beberapa negara. Kebiasaannya, ekstradisi akan diberikan hanya jika jenayah yang didakwa dilakukan tersebut juga merupakan kesalahan di bawah undang-undang di negara yang diminta. Garis Panduan Riyadh - Garis Panduan PBB untuk Pencegahan Kesalahan Juvenil yang diterimapakai Perhimpunan Agung PBB melalui resolusi 45/112 pada 14 Disember 1990. Garis panduan ini menekankan kepentingan menangani kesalahan remaja untuk mengurangkan jenayah, perlunya melaksanakan garis panduan mengikut pendekatan berasaskan kanakkanak, dan tanggungjawab bersama memastikan kesejahteraan kanak-kanak dari awal usia dan berterusan. Genosid (genocide) - pembunuhan secara sistematik dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, sekumpulan orang kerana kewarganegaraan, bangsa, etnik atau agama mereka. Hak asasi manusia – hak sejagat yang dimiliki semua manusia tanpa mengira apa bentuk perbezaan. Hak asasi manusia adalah tidak dapat dipisahkan, tidak dapat diasingkan dan sejagat serta saksama untuk setiap individu. 171 

اختر الفقرة المستهدفة3

الاتصال بفقرة
Connect to an entity
Disable highlights
أضف إلى جدول المحتويات