MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA MODUL 2: HAK ASASI MANUSIA PEGAWAI DAN ANGGOTA POLIS KANDUNGAN Nota Rujukan Tenaga Pengajar 1. Adakah hak asasi manusia untuk semua individu termasuk pegawai dan anggota polis? 2. Apakah cabaran kepada hak asasi manusia sebagai seorang pegawai dan anggota polis? 3. Apakah hak asasi manusia yang relevan kepada polis? Aktiviti 1: Pengalaman hak asasi manusia Aktiviti 2: Lepak kedai mamak PENDAHULUAN: Perbincangan berkenaan hak asasi manusia untuk pegawai dan anggota polis adalah antara yang terpenting kerana persoalan seperti “Apakah hak asasi saya?” dan “Siapakah yang memastikan hak asasi saya terjamin?” sering dibangkitkan semasa bengkel hak asasi manusia untuk pegawai dan anggota polis. Oleh itu modul ini boleh dijadikan antara modul yang terawal dalam memulakan kursus bagi menunjukkan kepada peserta bahawa hak asasi manusia adalah untuk semua. Ini akan membantu mengurangkan ‘tuduhan’ bahawa hak asasi manusia hanya mementingkan hak golongan tertentu sahaja terutama hak asasi ‘penjenayah’ dan mendorong peserta untuk membentuk pandangan yang positif terhadap hak asasi manusia. Melalui modul ini peserta lebih memahami bahawa hak asasi bukanlah terhad kepada golongan tertentu sahaja bahkan setiap individu termasuk pegawai dan anggota polis juga mempunyai hak asasi manusia kerana mereka juga adalah manusia. Hakikat ini sering dilupakan oleh ramai orang termasuk pegawai dan anggota polis sendiri. Malahan, ketidaksedaran pegawai dan anggota polis bahawa mereka juga memiliki hak asasi manusia menyebabkan mereka tidak menggunakan saluran dan mekanisme hak asasi manusia yang ada untuk membangkitkan isu berkaitan hak asasi mereka. Pegawai dan anggota polis dihadapkan dengan banyak persoalan berkaitan hak asasi manusia semasa menjalankan tugas mereka, sedangkan hak asasi mereka juga terjejas secara langsung ketika menjalankan tugas. Dengan menjaga hak asasi anggota dan pegawai polis, secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Justeru aktiviti perbincangan berkaitan hak asasi pegawai dan anggota polis bermanfaat untuk para peserta berkongsi permasalahan yang dihadapi dalam menjalankan tugas dan melihatnya dari perspektif hak asasi manusia. Untuk memaksimumkan perbincangan, tenaga pengajar harus mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai undangundang domestik dan peraturan yang berkaitan perlindungan kepada pegawai dan anggota polis, seperti peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Arahan Tetap Ketua Polis Negara dan peraturan-peraturan lain untuk melindungi pegawai dan anggota polis serta kegiatan kesatuan polis. 29 

Выберите целевой абзац3