PENEMUAN
119.
Melalui rakaman-rakaman video yang telah diserahkan oleh W26, Panel
berpendapat bahawa peserta perhimpunan tidak bersikap agresif dimana sebuah
kenderaan PDRM yang dipandu melintasi peserta tidak diapa-apakan dan peserta
dilihat memberi laluan kepada kenderaan berkenaan dan peserta dilihat tidak
membawa sebarang senjata.
120.
Panel mendapati bahawa tembakan gas pemedih mata telah dilepaskan oleh
PDRM dari dua arah yang bertentangan dan ini telah menimbulkan kemungkinan
kecederaan atau kematian terhadap peserta-peserta perhimpunan yang berada
di kawasan berkenaan.
121.
Terdapat juga rakaman yang dibekalkan kepada Panel menunjukkan terdapat
seorang anggota telah tidak menembak ke arah bawah dan berkemungkinan
telah menyebabkan kecederaan kepada W27.
122.
Panel juga telah mengadakan lawatan ke tempat yang dinyatakan dan membuat
pemerhatian bahawa ruang tempat menunggu bas tersebut adalah separuh
tertutup dan akses untuk peserta-peserta perhimpunan bersurai secara teratur dan
selamat adalah terbatas di mana hanya terdapat satu tangga dan satu eskalator
untuk keluar dari ruang ini.
123.
Faktor gas pemedih mata yang memasuki ruang separuh tertutup dan juga
kekurangan akses untuk keluar di lokasi berkenaan menyebabkan para peserta
tidak dapat bersurai dengan selamat.
124.
Terdapat kemungkinan bahawa tembakan yang dilepaskan dari arah belakang
oleh satu unit PDRM dilakukan berpunca dari tiada komunikasi yang jelas diantara
unit-unit yang bertugas di kawasan berkenaan.
125.
Melalui rakaman yang diserahkan, Panel mendapati terdapat sebilangan kecil
peserta bertekad untuk meneruskan perjalanan mereka manakala hampir
kesemua peserta yang lain berada di dalam keadaan statik.
27