MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA Teknik-teknik Mengumpulkan Maklumat 2.60 Pendengaran aktif membantu penemubual memproses maklumat yang diberikan oleh orang yang ditemubual. Melalui pendengaran aktif, penemubual menunjukkan yang mereka mengikuti percakapan orang yang ditemubual dan berusaha untuk memahaminya. Penemubual mengambil langkah berhati-berhati supaya tidak memimpin orang yang ditemubual secara tidak sengaja dengan menggunakan isyarat secara lisan atau visual, termasuk bunyi, gerak isyarat atau pertanyaan, yang boleh diinterpretasikan sebagai bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan. 2.61 Orang yang ditemubual patut digalakkan supaya menjelaskan dengan perkataan mereka sendiri tentang penglibatan, pengetahuan atau ingatan mereka terhadap perkara yang sedang diteliti, dan patut dibenarkan untuk memberikan jawapan penuh. Kemudian bolehlah maklumat itu diperiksa untuk mendapatkan butiran selanjutnya bagi mengisi lompong atau menjelaskan percanggahan. 2.62 Secara umumnya penemubual tidak patut mencelah atau memintas fikiran orang yang ditemubual dan sentiasa memberikan perhatian terhadap maklumat yang disediakan supaya boleh mengesan butir-butir penting dan mengenal pasti topik yang spesifik yang memerlukan tindakan susulan. Di samping tidak mengganggu percakapan, penembual patut mendiamkan diri pada waktu yang sesuai. Apabila berdiam, penemubual memberikan isyarat bahawa tidak mengapa jika orang yang ditemubual mengambil masa untuk berhenti sejenak dan berfikir, dan penemubual sanggup menunggu untuk mendapatkan lebih banyak butiran. 2.63 Jenis pertanyaan yang digunakan dalam sesebuah temubual menyumbang kepada pencapaian objektif dan hasil keseluruhan yang diingini. Sasarannya ialah untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat yang diberikan secara sukarela dan tidak tercemar. Setiap soalan harus mempunyai tujuannya dan ditanya dalam cara yang tidak menghakimi. Bahasa yang digunakan hendaklah jelas dan terma-terma atau jargon atau akronim yang teknikal hendaklah dielakkan. 2.64 Pertanyaan yang terbuka, seperti ‘jelaskan kepada saya,’ ‘beritahu saya’ atau ‘tolong jelaskan,’ mengurangkan risiko mengganggu memori orang yang ditemubual; berkemungkinan besar lebih banyak butir-butir dan jawapan yang lebih berisi dapat diberikan, yang berkemungkinan besar bukannya dipengaruhi oleh penemubual. 2.65 Soalan-soalan bersifat mencungkil, seperti ‘siapa,’ ‘apa’ dan ‘di mana’, mungkin perlu untuk mendapatkan lebih banyak butir-butir sebaik sahaja orang yang ditemubual menjawab soalan terbuka. Ia membantu mendapatkan maklumat tambahan yang relevan dan mengenal pasti lompong yang spesifik dan tidak konsisten yang memerlukan pemeriksaan teliti lanjutan. Orang yang ditemubual mungkin akan mendedahkan sesuatu yang baru. 2.66 Penggunaan maklumat yang strategik boleh membantu membimbing penemubual bagi memastikan maklumat yang dicungkil relevan terhadap tujuan temubual. 143 

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents