MODUL HAK ASASI MANUSIA
UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA
1.25 Mana-mana keputusan untuk menangkap dan menahan seseorang hendaklah
berlandaskan penilaian keadaan tertentu individu tersebut dan mana-mana sebab
yang boleh dijustifikasikan dan disahkan untuk mempercayai bahawa individu tersebut
berisiko melarikan diri, memusnahkan bukti, mempengaruhi saksi atau melakukan
jenayah baru. Pihak berkuasa yang relevan patut mempertimbangkan sama ada
sebarang risiko yang telah dikenal pasti boleh dikurangkan dengan menggunakan
alternatif yang tidak memerlukan individu tersebut diletakkan di bawah jagaan
(non-custodial alternatives) berbanding perlucutan kebebasan. Pelepasan suspek
tertakluk kepada langkah-langkah yang perlu, berkadaran dan tiada diskriminasi yang
bertujuan untuk mengelakkan risiko tertentu yang datang daripada individu tersebut,
seperti jaminan untuk hadir ke perbicaraan atau temubual. Syarat pelepasan, seperti
ikat jamin, boleh dikenakan tetapi hendaklah yang paling longgar, sekadar yang perlu
untuk mengurangkan risiko tertentu yang telah dikenal pasti, dan hendaklah tiada
diskriminasi.
1.26 Anggapan tidak bersalah (presumption of innocence) menyatakan bahawa suspek
atau tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah
undang-undang. Ini bermakna beban pembuktian kesalahan melebihi keraguan
yang munasabah terletak pada pihak pendakwaan dan hendaklah mengemukakan
keterangan yang disahkan di mahkamah undang-undang. Dengan mengamalkan
prinsip undang-undang ini, penemubual juga boleh meningkatkan kebarangkalian
maklumat yang dikumpul adalah tepat dan boleh dipercayai, dan menjadi keterangan
sah dan boleh digunakan dalam prosiding undang-undang.
1.27 Dalam anggapan tidak bersalah wujud hak untuk berdiam diri dan dilindungi daripada
paksaan untuk menginkriminasikan diri. Ini menjamin hak seseorang yang disoal oleh
pihak berkuasa untuk enggan memberikan komen atau memberikan jawapan,
supaya boleh mengelak daripada dipaksa untuk menginkriminasikan dirinya atau
lain-lain sebab. Kesenyapan suspek atau tertuduh tidak seharusnya menjadi penentu
kebersalahan atau ketakbersalahan di dalam mahkamah dan tidak sepatutnya
memberi kesan terhadap hak mereka untuk dianggap tidak bersalah.
1.28 Pihak berkuasa hendaklah memastikan supaya semua orang yang ditemubual
menikmati hak asasi mereka tanpa sebarang perbezaan dan dilayan tanpa diskriminasi.
Pelaksanaan kebebasan daripada diskriminasi yang berkesan memastikan semua
orang yang ditemubual mempunyai hak kesamarataan di sisi undang-undang dan
dilayan dengan hormat dan pertimbangan sewajarnya serta memberikan perlindungan
tertentu terhadap sebarang keadaan rentan yang dihadapi orang yang ditemubual.
1.29 Prinsip-prinsip asas perundangan yang dirangka dalam bahagian ini juga menyediakan
asas untuk pelbagai perlindungan undang-undang dan prosedur terhadap
penganiayaan dan amalan penyalahgunaan lain. Perlindungan ini merupakan
bahagian penting dalam proses temubual yang menyeluruh; apabila dilaksanakan
dengan berkesan, akan berhasil melindungi hak asasi orang yang ditemubual dan
menjamin integriti maklumat yang diperolehi ketika temubual.
131
Select target paragraph3
Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents