MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA 1.25 Mana-mana keputusan untuk menangkap dan menahan seseorang hendaklah berlandaskan penilaian keadaan tertentu individu tersebut dan mana-mana sebab yang boleh dijustifikasikan dan disahkan untuk mempercayai bahawa individu tersebut berisiko melarikan diri, memusnahkan bukti, mempengaruhi saksi atau melakukan jenayah baru. Pihak berkuasa yang relevan patut mempertimbangkan sama ada sebarang risiko yang telah dikenal pasti boleh dikurangkan dengan menggunakan alternatif yang tidak memerlukan individu tersebut diletakkan di bawah jagaan (non-custodial alternatives) berbanding perlucutan kebebasan. Pelepasan suspek tertakluk kepada langkah-langkah yang perlu, berkadaran dan tiada diskriminasi yang bertujuan untuk mengelakkan risiko tertentu yang datang daripada individu tersebut, seperti jaminan untuk hadir ke perbicaraan atau temubual. Syarat pelepasan, seperti ikat jamin, boleh dikenakan tetapi hendaklah yang paling longgar, sekadar yang perlu untuk mengurangkan risiko tertentu yang telah dikenal pasti, dan hendaklah tiada diskriminasi. 1.26 Anggapan tidak bersalah (presumption of innocence) menyatakan bahawa suspek atau tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah undang-undang. Ini bermakna beban pembuktian kesalahan melebihi keraguan yang munasabah terletak pada pihak pendakwaan dan hendaklah mengemukakan keterangan yang disahkan di mahkamah undang-undang. Dengan mengamalkan prinsip undang-undang ini, penemubual juga boleh meningkatkan kebarangkalian maklumat yang dikumpul adalah tepat dan boleh dipercayai, dan menjadi keterangan sah dan boleh digunakan dalam prosiding undang-undang. 1.27 Dalam anggapan tidak bersalah wujud hak untuk berdiam diri dan dilindungi daripada paksaan untuk menginkriminasikan diri. Ini menjamin hak seseorang yang disoal oleh pihak berkuasa untuk enggan memberikan komen atau memberikan jawapan, supaya boleh mengelak daripada dipaksa untuk menginkriminasikan dirinya atau lain-lain sebab. Kesenyapan suspek atau tertuduh tidak seharusnya menjadi penentu kebersalahan atau ketakbersalahan di dalam mahkamah dan tidak sepatutnya memberi kesan terhadap hak mereka untuk dianggap tidak bersalah. 1.28 Pihak berkuasa hendaklah memastikan supaya semua orang yang ditemubual menikmati hak asasi mereka tanpa sebarang perbezaan dan dilayan tanpa diskriminasi. Pelaksanaan kebebasan daripada diskriminasi yang berkesan memastikan semua orang yang ditemubual mempunyai hak kesamarataan di sisi undang-undang dan dilayan dengan hormat dan pertimbangan sewajarnya serta memberikan perlindungan tertentu terhadap sebarang keadaan rentan yang dihadapi orang yang ditemubual. 1.29 Prinsip-prinsip asas perundangan yang dirangka dalam bahagian ini juga menyediakan asas untuk pelbagai perlindungan undang-undang dan prosedur terhadap penganiayaan dan amalan penyalahgunaan lain. Perlindungan ini merupakan bahagian penting dalam proses temubual yang menyeluruh; apabila dilaksanakan dengan berkesan, akan berhasil melindungi hak asasi orang yang ditemubual dan menjamin integriti maklumat yang diperolehi ketika temubual. 131 

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents