LAPORAN STATUS HAK PENDIDIKAN KANAK-KANAK ORANG ASLI 3.2 Pemerolehan Dokumen Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan Pemerolehan sijil kelahiran dan kad pengenalan adalah salah satu isu yang lama dan sehingga kini belum ada penyelesaiannya. Ia menjadi antara punca utama kanak-kanak Orang Asli tidak bersekolah dan menyambung pelajaran mereka. 3.3 Bantuan Peralatan dan Kelengkapan Persekolahan Infrastruktur yang disediakan kerapkali tidak mencukupi dan tidak berkualiti. Selain daripada itu, peralatan dan bantuan kerap tidak sampai pada waktunya. 3.4 Rancangan Makan Tambahan (RMT) Program ini adalah satu program untuk membantu kanak-kanak dari keluarga yang miskin untuk hadir ke sekolah. Namun, kualiti makanan yang disediakan kerapkali didapati tidak memuaskan dan menepati menu yang disediakan. Selain daripada itu juga, cara pengagihan RMT ini kepada murid Orang Asli kerap dipersoalkan oleh ibu bapa mereka. 3.5 Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) SUHAKAM mendapati ada pelbagai interpretasi berhubung cara pengagihan wang KWAPM ini oleh guru-guru sekolah sehingga menimbulkan rungutan dan syak wasangka oleh ibu bapa kerana tidak ada keseragaman dalam prosedur dan kaedah memberi bantuan wang ini. 3.6 Keprihatinan Pengetua, Guru Besar dan Guru-Guru Ramai ibu bapa dan murid Orang Asli menyatakan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah dan guru tidak prihatin tentang kehadiran mereka di sekolah mahupun dalam kelas, khasnya di sekolah menengah. Mereka mengatakan terdapat segelintir pihak pentadbir dan guru yang mengeluarkan kata-kata dan tindak-tanduk yang membuatkan murid Orang Asli merasa terpinggir, terhina dan rendah diri. Sekolah yang ditadbirurus oleh Pengetua, Guru Besar dan guru-guru seperti ini memberi kesan kepada kehadiran murid Orang Asli. 3.7 ii Pengajaran dan Pembelajaran SUHAKAM mendapati masih terdapat jurang pencapaian antara kanak-kanak arus perdana dengan kanak-kanak Orang Asli dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira. SUHAKAM dimaklumkan bahawa muridmurid Orang Asli khasnya dari kawasan pedalaman menghadapi kesukaran memahami bahasa Melayu. Selain daripada itu, kurikulum yang sedia ada tidak mengambil kira perbezaan latar belakang kanak-kanak ini.

Select target paragraph3