LAPORAN STATUS HAK PENDIDIKAN KANAK-KANAK ORANG ASLI 6.1.6 50 Keprihatinan Pengetua, Guru Besar dan Guru-Guru i. Ramai ibu bapa dan murid Orang Asli yang menyatakan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah dan guru yang tidak prihatin tentang kehadiran mereka di sekolah mahu pun dalam kelas, khasnya di sekolah menengah. Mereka mengatakan terdapat segelintir pihak pentadbir dan guru yang mengeluarkan kata-kata dan tindak-tanduk yang membuatkan murid Orang Asli merasa terpinggir, terhina dan rendah diri. ii. Ada ibu bapa di ketiga-tiga tempat program dijalankan menyatakan bahawa terdapat juga kes-kes guru tidak berada dalam kelas, lewat masuk kelas, tidak masuk mengajar sepenuh masa dan ada kalanya mereka keluar atas urusan rasmi sehingga hanya tinggal seorang guru sahaja. iii. Terdapat sekolah yang kerap kali ditutup pada hari Khamis kerana guru balik kampung dan tidak dibuka pada hari Ahad kerana mereka belum pulang dari kampung. iv. Terdapat kes di mana kesemua tukang masak asrama pulang bercuti sehingga murid tidak dapat makan dan ibu bapa terpaksa menghantar makanan walaupun menghadapi masalah pengangkutan. v. Ibu bapa semasa di ketiga-tiga program merasakan pendekatan pengajaran dan isi kandungan mata pelajaran haruslah sesuai dengan keperluan Orang Asli berlandaskan budaya, latar belakang, adat resam dan persekitaran supaya lebih bermakna kepada mereka. Ibu bapa menyatakan walaupun hubungan dengan sekolah baik, namun mereka memerlukan maklumat dan maklumbalas berkaitan pendidikan anak-anak mereka seperti dasar sekolah mengenai pemberian bantuan pendidikan wang KWAPM, kelengkapan persekolahan dan aktivitiaktiviti sekolah. Walaupun ada PIBG, namun komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa kurang jelas dan ini menyebabkan berlaku salah faham antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Murid Orang Asli memang diketahui suka bersukan, namun mereka menyatakan bahawa mereka kerap kali terpinggir dalam menyertai aktiviti sukan atau dipilih untuk mewakili sekolah. Keadaan ini membuatkan mereka merasa tidak dihargai dan berlaku diskriminasi terhadap mereka.

Select target paragraph3