SUHAKAM
(3) Menteri boleh, jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk
berbuat demikian, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan manamana murid atau mana-mana golongan murid daripada kehendak supaya mengikuti
pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang
difikirkannya patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya
membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau mengubah atau menambah
syarat-syarat itu.
(4) Ibu bapa yang melanggar subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan
boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
(5) Menteri boleh membuat peraturan-peraturan untuk melaksanakan peruntukan
seksyen ini.
2.4
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pula menyatakan pendidikan asas harus
dijadikan wajib dan diberikan secara percuma. Perisytiharan ini juga menyatakan
bahawa pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak adalah bertujuan untuk
perkembangan sepenuhnya keperibadian manusia dan mengukuhkan rasa hormat.
Perkara 26 (1)
“Setiap orang adalah berhak kepada pelajaran. Pelajaran hendaklah diberi percuma,
sekurang-kurangnya pada peringkat awal dan asasnya. Pelajaran peringkat awal
hendaklah diwajibkan. Pelajaran teknikal serta profesional hendaklah disediakan untuk
umum dan pelajaran tinggi hendaklah mempunyai akses yang sama rata kepada semua
atas dasar kebolehan”.
Perkara 29 (2)
“Pelajaran hendaklah ditujukan kepada perkembangan sepenuhnya keperibadian
manusia dan ke arah memperkukuhkan lagi rasa hormat bagi hak-hak dan kebebasan
asasi manusia. Ianya hendaklah memupuk persefahaman, kesabaran dan persahabatan
di kalangan semua negara, bangsa atau kumpulan-kumpulan agama dan hendaklah
memajukan segala kegiatan Bangsa-Bangsa Bersatu demi memelihara keamanan”.
2.5
United Nation Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UN-DRIP), 2007
UN-DRIP telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu pada September 2007 setelah berdebat hampir dua dekad. Dokumen ini
membincangkan hak Orang Asal di seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah 370 juta
orang.
13