Walau bagaimanapun, apabila tahun 2018 menutup tirainya dan keterujaan rakyat kian reda, semakin jelas bahawa kerajaan baharu mula mempertimbangkan semula pelbagai komitmennya terhadap rakyat Malaysia. Walaupun telah berjanji untuk memastikan rekod hak asasi manusia Malaysia dihormati di seluruh dunia, Kerajaan berulang-ulang kali berundur daripada komitmen asas pilihanraya yang menjanjikan bahawa kesemua mekanisme yang membataskan hak asasi manusia di Malaysia akan dimansuhkan untuk selamanya. Detik inilah merupakan peluang terbaik untuk menyertai enam lagi triti hak asasi antarabangsa, namun bagi perkara yang boleh dikatakan paling mudah juga, kata sepakat tidak dapat tercapai berhubung isu berkaitan, contohnya penderaan dan penghapusan diskriminasi kaum. Keadaan dalam tahanan tidak boleh dijadikan hukuman tambahan dan saya berasa kesal dengan keadaan di beberapa penjara dan pusat tahanan yang melanggar piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Masih terdapat sistem penjara yang menggunakan sistem bekas najis, sistem tandas yang digunakan pada tahun 1950-an, yang amat teruk di Malaysia. SUHAKAM mendapati bahawa penjara tidak mempunyai kemudahan pemulihan yang berkesan bagi memastikan apabila tahanan dibebaskan, mereka lebih bersedia menjadi individu yang mematuhi undang-undang dan dapat menyumbang kepada masyarakat. Kematian dalam tahanan merupakan perkara yang amat dipandang serius oleh SUHAKAM dan kami akan terus memantau penjara dan pusat-pusat tahanan dengan sebaik mungkin. Pada pandangan kami, Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang mencukupi terhadap penyeksaan dan tindakan Kerajaan bagi mengurangkan dan mencegah perbuatan penyeksaan di sebalik dinding tahanan adalah minimum. Kebanyakan perlindungan terhadap perlakuan buruk dan penyeksaan tahanan terdapat dalam rangka Perjanjian Kovenan Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR) yang telah diberikan komitmen oleh kerajaan. Penyertaan kepada Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) merupakan harapan SUHAKAM sejak sekian lama juga merupakan satu daripada komitmen yang dijanjikan oleh kerajaan dan dengan penyertaan konvensyen ini, diharapkan dapat menamatkan penyeksaan terhadap tahanan serta membuka ruang penambahbaikan. Hak asasi manusia di Malaysia dan SUHAKAM menerima tamparan besar dengan tindakan kerajaan untuk mengundurkan diri daripada menyertai sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang telah disalah ertikan sebagai perhimpunan balas viii LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2018

Выберите целевой абзац3