SUHAKAM
1.0
Tujuan Laporan
Laporan ini bertujuan untuk melihat permasalahan mengenai isu persekolahan kanakkanak Orang Asli dan hak mereka terhadap pendidikan. Laporan ini akan meninjau
hak pendidikan yang termaktub dalam perundangan negara dan juga di peringkat
antarabangsa.
Selain itu, laporan ini akan menggariskan program-program yang telah dijalankan oleh
SUHAKAM berkaitan dengan hak pendidikan Orang Asli sejak penubuhannya pada
tahun 2000.
Seterusnya, laporan ini akan memberi gambaran terhadap peranan dan usaha yang
diambil oleh agensi Kerajaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan
Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dalam menangani masalah pendidikan Orang Asli.
Di akhir laporan ini, SUHAKAM akan cuba untuk menyenaraikan masalah-masalah
utama yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli berhubung isu pendidikan.
Berdasarkan ini, SUHAKAM telah membuat perbincangan dengan masyarakat Orang
Asli dan mengemukakan syor atau cadangan untuk mengatasi masalah yang berkaitan
dengan pendidikan Orang Asli.
Syor dan cadangan SUHAKAM ini kebanyakannya ditujukan kepada agensi kerajaan dan
masyarakat Orang Asli itu sendiri. SUHAKAM berharap satu perbincangan susulan yang
lebih mantap dapat diadakan untuk meneliti semua syor diberikan serta merancang
perlaksanaan syor tersebut.
1.1
Permasalahan Kajian
Maklumat dan data yang diperolehi oleh SUHAKAM melalui lawatan-lawatan ke
kampung Orang Asli, program dan perbincangan dengan Orang Asli, dialog bersama
Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta perbincangan dengan agensi Kerajaan menunjukkan
bahawa isu pendidikan seperti keciciran dan bilangan kanak-kanak tidak bersekolah
masih menjadi salah satu masalah utama.
Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan pendidikan sekolah
rendah sebagai wajib, masih tidak banyak perubahan dari segi kehadiran di kalangan
kanak-kanak Orang Asli. Selain itu, penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan
mengira) di kalangan murid-murid ini juga dimaklumkan tidak memberangsangkan.
Oleh itu, SUHAKAM berpendapat adalah perlu untuk mengetahui secara mendalam
punca dan sebab masalah ini berlaku.
3