SUHAKAM
5.0
Pengenalan
Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Seksyen 4 (1), menyatakan
salah satu fungsi SUHAKAM:
“untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan
hak asasi manusia”
Oleh itu, SUHAKAM banyak menjalankan program pendidikan hak asasi manusia
kepada pelbagai kumpulan sasaran. SUHAKAM berpendapat, menggalak dan memberi
pendidikan mengenai hak asasi manusia hendaklah dilaksanakan menerusi ilmu
pengetahuan, meningkatkan kesedaran tentang nilai, kepercayaan dan sikap serta
amalan.
Dengan itu, SUHAKAM telah mengadakan pelbagai program untuk memartabatkan hak
Orang Asli di Malaysia. Ini termasuklah bengkel mengenai hak Orang Asli terhadap tanah
adat, lawatan ke perkampungan Orang Asli serta menganjurkan kem hak asasi untuk
remaja Orang Asli. Selain itu, SUHAKAM turut memainkan peranan dalam mengadakan
sesi perbincangan dengan agensi Kerajaan mengenai isu-isu Orang Asli sebagai salah
satu strategi untuk menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab dalam sama-sama
mencari jalan penyelesaiannya.
SUHAKAM bercadang untuk meneruskan usaha menyedarkan masyarakat Orang Asli
dan agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal dan kesejahteraan Orang
Asli mengenai kepentingan pendidikan sebagai salah satu dari hak asasi manusia yang
penting.
SUHAKAM sedang berusaha untuk memenuhi beberapa peruntukan yang termaktub
dalam beberapa perisytiharan dan konvensyen hak asasi untuk kesejahteraan kaum
Orang Asli.
5.1
Program dan Aktiviti yang Dijalankan oleh SUHAKAM
5.1.1
Bengkel Hak Asasi Orang Asli
Ini merupakan antara program awal yang diadakan oleh SUHAKAM mengenai
hak Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Orang Asal7 di Sabah dan Sarawak.
Semasa bengkel ini berlangsung, pemimpin dan masyarakat Orang Asal/Asli,
agensi Kerajaan, badan bukan kerajaan dan ahli akademik telah mengambil
bahagian dalam sesi perbincangan. Salah satu isu yang menjadi tumpuan
adalah hak pendidikan masyarakat ini.
7
Orang Asal merujuk kepada kaum peribumi di negeri Sabah dan Sarawak
37