SUHAKAM 4.7 Pengajaran dan Pembelajaran Adalah dicadangkan supaya KPM melihat semula sistem penyampaian dan pemantauan terhadap semua program yang sedang dilaksanakan bagi mengelakkan pencairan dalam pelaksanaan program-program sehingga menjejaskan hasrat KPM untuk membangunkan murid Orang Asli. Bahagian yang berkenaan dicadangkan melihat semula pendekatan mereka kepada keperluan unik kanak-kanak Orang Asli dalam aspek kurikulum, ko-kurikulum, penilaian, bahan mengajar, bahan bantu mengajar dan budaya belajar mereka. Punca kenapa masih ramai murid Orang Asli tidak dapat menguasai 3M perlu dikenalpasti bagi menangani masalah tersebut. 4.8 Penempatan Guru Besar dan Guru i. KPM dan Jabatan Pelajaran Negeri diharap dapat menyemak semula amalan penempatan guru-guru baru yang tidak berpengalaman dalam mengajar di sekolah pedalaman pada kadar yang tinggi di sesebuah sekolah. Ini boleh menjejas hasrat murni KPM dalam memperkasakan sekolah-sekolah pedalaman. ii. Bagi memastikan keberkesanan pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran, pemilihan guru besar dan guru boleh dibuat dengan mengambil kira kecemerlangan mereka bekerja, kemahiran menyelesaikan masalah dan mempunyai sikap mesra Orang Asli. 4.9 Sikap Ibu Bapa dan Murid Orang Asli Ibu bapa yang masih tidak memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan anak-anak mereka hendaklah dibantu mengubah sikap mereka. SUHAKAM mencadangkan agar program motivasi yang dilaksanakan oleh JHEOA dipertingkatkan lagi dari segi kandungan dan pendekatannya. 4.10 Kanak-Kanak Yang Tidak Dapat Bersekolah JHEOA diharap dapat mengumpul data dan maklumat mengenai penempatan di mana terdapat anak-anak tidak bersekolah. Maklumat seperti ini akan dapat membantu KPM merancang kaedah yang sesuai bagi memastikan semua kanak-kanak Orang Asli bersekolah. 4.11 Satu Agensi Untuk Mengurus Pendidikan Orang Asli KPM telah pun menubuhkan unit khas bagi menyelaras isu-isu pendidikan kaum pribumi di Bahagian Pendidikan Khas. Kemungkinan unit khas ini boleh mengelola semua hal-hal pendidikan untuk memudahkan penyelarasan. Syor ini juga telah dikemukakan oleh Pelapor Khas Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya ditubuhkan satu unit khas bagi menguruskan pendidikan Orang Asli. v

Выберите целевой абзац3