BAB 2 ORGANISASI DAN PERHIMPUNAN 20. Perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan pada 9 Julai 2011 itu telah dianjurkan oleh Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH), iaitu sebuah kumpulan yang dianggotai oleh 64 pertubuhan yang bermatlamat untuk menuntut perubahan ke atas sistem dan amalan pilihanraya di Malaysia. Ia dipengerusikan oleh Dato‟ Ambiga Sreenevasan, seorang peguambela dan peguamcara yang juga mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia. 21. Mengikut perancangan kumpulan ini, perhimpunan yang diadakan di bandaraya Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan bertujuan untuk menunjukkan sokongan terhadap tuntutan mereka. Bagi tujuan tersebut, Gabungan ini telah menyeru kepada semua pihak yang menyokong tuntutan tersebut supaya berhimpun di Kuala Lumpur. Seterusnya, peserta perhimpunan telah dilihat berada di sekitar bandaraya Kuala Lumpur seawal jam 8.00 pagi pada hari berkenaan, iaitu pada 9 Julai 2011. 22. Dari segi taburan para peserta, boleh dikatakan tidak terdapat satu lokasi khusus yang dijadikan matlamat bagi perhimpunan berkenaan. Malah tidak diketahui secara jelas bagaimana pihak penganjur melakukan penyelarasan bagi pergerakan para peserta. Bagaimanapun, terdapat beberapa lokasi yang boleh disifatkan menjadi tumpuan perhimpunan berkenaan, seperti KL Sentral, Pasar Seni, Dataran Maybank, Jalan Petaling, Jalan Tun Perak dan beberapa lokasi lain di kawasan yang berhampiran. Selain itu, mereka kelihatannya tidak statik, sebaliknya bergerak ke sana ke mari di sekitar kawasan yang dinyatakan di atas. 23. Berdasarkan aduan yang diterima serta temubual yang diadakan dengan saksisaksi yang tampil memberi keterangan, Panel telah memutuskan untuk memberi fokus secara khusus, antara lain kepada pelanggaran terhadap hak asasi manusia yang didakwa telah dilakukan oleh anggota PDRM di kawasan-kawasan sekitar Hospital Tung Shin, Hospital Bersalin Cina, Puduraya, Menara Maybank, Jalan Pudu, Jalan Travers, KL Sentral dan kawasan persekitaran Bangunan Maju Junction. 7

Выберите целевой абзац3