MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA Kod Tatalaku bagi Pegawai Penguatkuasa Undang-Undang Diterimapakai oleh resolusi Perhimpunan Agung 34/169 pada 17 Disember 1979 Perkara 1 Pegawai penguatkuasa undang-undang hendaklah pada setiap masa memenuhi tugas yang ditetapkan oleh undang-undang ke atas mereka, dengan berkhidmat kepada masyarakat dan melindungi semua orang daripada tindakan jenayah, selaras dengan tanggungjawab pada tahap tertinggi yang diperlukan oleh profesion mereka. Ulasan: (a) Istilah “pegawai penguatkuasa undang-undang”, merangkumi semua pegawai undang-undang, sama ada dilantik atau terpilih, yang menggunakan kuasa polis, terutama kuasa penangkapan atau penahanan. (b) Di negara di mana kuasa polis dijalankan oleh pihak berkuasa tentera, sama ada berseragam atau tidak, atau oleh pasukan keselamatan Negara, definisi pegawai penguatkuasa undang-undang termasuk pegawai perkhidmatan tersebut. (c) Perkhidmatan kepada masyarakat bermaksud mencakupi terutamanya pemberian perkhidmatan bantuan kepada anggota masyarakat yang disebabkan oleh alasan peribadi, ekonomi, sosial atau kecemasan lain sangat memerlukan pertolongan segera. (d) Peruntukan ini bertujuan tidak hanya meliputi semua tindakan ganas, pemangsa dan tindakan berbahaya, tetapi juga meliputi pelbagai larangan di bawah undang-undang jenayah. Ini merangkumi perlakuan oleh orang yang tidak mampu menanggung tanggungjawab jenayah. Perkara 2 Dalam melaksanakan tugas mereka, penguatkuasa undang-undang hendaklah menghormati dan melindungi maruah manusia dan menjaga dan menegakkan hak asasi semua orang. Ulasan: (a) Hak asasi manusia tersebut dikenal pasti dan dilindungi oleh undang-undang tempatan dan antarabangsa. Antara instrumen antarabangsa yang relevan adalah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Perisytiharan Perlindungan Semua Orang dari Menjadi Mangsa Penyeksaan dan Perlakuan atau Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah Orang Lain, Perisytiharan PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum, Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum, Konvensyen Antarabangsa Berkenaan Sekatan dan Hukuman Jenayah Apartheid, Konvensyen mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, Peraturan Piawaian Minima untuk Layanan Terhadap Tahanan dan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular. (b) Ulasan di peringkat nasional terhadap peruntukan ini harus mengenalpasti peruntukan serantau atau nasional yang melindungi hak-hak ini. 113 

Select target paragraph3

Connect to a paragraph
Connect to an entity
Disable highlights
Add to table of contents