Isu-isu yang dibangkitkan Berikut ialah isu-isu utama yang dibangkitkan oleh peserta: i. Pendidikan Kebimbangan timbul berhubung dengan keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkuasa agama negeri untuk melihat sekolah-sekolah agama, iaitu Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah tahfiz di Malaysia bagi memastikan sekolah-sekolah ini mematuhi standard yang diperlukan dari segi ciri keselamatannya, penyampaian kandungan, pembangunan kapasiti untuk guru-guru serta kualiti sistem pembelajaran. Sesetengah ibu bapa juga turut menyuarakan kebimbangan mereka tentang bebanan beg sekolah dan kemungkinan risiko kesihatan yang dihadapi oleh anak-anak mereka kerana membawa beg sekolah yang terlalu berat dari dan ke sekolah secara rutin. Mereka berharap agar KPM meringankan beban beg pelajar tersebut dengan mengurangkan bilangan buku teks yang perlu dibawa ke sekolah. Isu berkenaan dengan hak asasi kanak-kanak tanpa warganegara terhadap pendidikan juga dibangkitkan dalam salah satu sesi oleh rakyat yang prihatin, yang mengharapkan kanak-kanak tanpa warganegara diberi peluang yang sama untuk menerima pendidikan yang sewajarnya di Malaysia. Wakil daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Langkawi turut membangkitkan kebimbangan tentang sekolah-sekolah yang berprestasi rendah di pulau tersebut. Wakil tersebut mencadangkan keperluan SUHAKAM untuk mengkaji isu ini dan membuat syor yang sewajarnya kepada KPM. ii. Hak mengundi Sesetengah peserta melahirkan kebimbangan mereka terhadap ketidaksamaan hak mengundi. Pengundi berdaftar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya boleh mengundi untuk memilih wakil Parlimen dan tidak seperti pengundi di negeri lain yang boleh mengundi kedua-dua perwakilan dalam dewan undangan negeri dan Parlimen. Walaupun mengakui hakikat bahawa Kuala Lumpur ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan bersama pihak berkuasa tempatan, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, para peserta berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap perkara ini. 40 LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2018

Select target paragraph3