PROMOSI DAN KEMASYARAKATAN BAB 1 Sepanjang tahun ini, SUHAKAM terus melaksanakan mandat terasnya dalam meningkatkan kesedaran hak asasi manusia melalui pelbagai program kemasyarakatan dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia. 1. Perlindungan Daripada Penyeksaan Dan Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah a) Program UNCAT bersama pelbagai pihak berkepentingan Susulan daripada sesi dialog Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) yang diadakan pada 5-7 Julai 2017, SUHAKAM menganjurkan satu lagi siri program UNCAT pada 2 - 5 Julai 2018 di Kuala Lumpur bersama pertubuhan Islam Malaysia dan pihak berkuasa agama, Ahli Parlimen dan pelbagai agensi kerajaan, serta Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Saifuddin Abdullah. Program-program tersebut bertujuan untuk mengkaji halangan-halangan ketidaksertaan Malaysia kepada UNCAT terutamanya ketidakserasian undang-undang domestik, sivil dan syariah dengan UNCAT, serta mempelajari daripada bidang kuasa lain dan untuk mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan ke arah menyokong penyertaan Malaysia kepada konvensyen. Antara isu dan syor utama yang diperolehi daripada program ini termasuklah: i. Anggapan bahawa agma Islam dan UNCAT tidak selaras tidak boleh menjadi halangan bagi Malaysia untuk meratifikasi konvensyen itu dan untuk memajukan agenda hak asasi manusia di negara ini. ii. Undang-undang Syariah tidak menjadi penghalang kepada penyertaan Malaysia kepada UNCAT kerana peruntukan kesalahan dan hukuman di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 dan Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 tidak tertakluk dalam definisi “penyeksaan” seperti yang terkandung dalam UNCAT. iii. Pendidikan dan kesedaran tentang UNCAT dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia hendaklah berdasarkan kepercayaan asas bahawa Islam melarang penyeksaan dan kekejaman. iv. Dialog yang lebih kerap dalam kalangan ulama dan ahli akademik Malaysia perlu diadakan untuk melihat kesesuaian UNCAT dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan prinsip-prinsip Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam. v. Malaysia perlu mencontohi amalan terbaik negara-negara Islam yang lain seperti Tunisia dan Qatar yang telah menggantikan hukuman sebat dengan bentuk hukuman lain bagi kesalahan jenayah seperti penjara. LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2018 35

Select target paragraph3