SUHAKAM bekerjasama dengan Program Pembangunan PBB (UNDP) bagi melaksanakan Projek untuk Menyokong Pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (NAPBHR) dengan menggalakkan Pemahaman dan Penggunaan Prinsip Panduan PBB mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (UNGP). SUHAKAM juga telah meneroka pelbagai hubungan kerjasama bagi menggalakkan promosi dan pematuhan hak asasi dalam operasi perniagaan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). SUHAKAM dengan usaha sama bersama The Forest Trust (TFT) telah menganjurkan Konsultasi mengenai Kanak-kanak di Ladang-ladang Sabah bagi menangani isu-isu rantaian bekalan yang berkaitan keadaan kanak-kanak di ladang-ladang kelapa sawit di Sabah. SUHAKAM terus terlibat dengan komuniti antarabangsa melalui beberapa platform hak asasi manusia antarabangsa termasuk Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF), Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Pasifik (APF), Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Komanwel (CFNHRI), Pakatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI). Satu daripada acara penting di peringkat antarabangsa pada tahun ini ialah Penilaian Berkala Sejagat (UPR) ketiga Malaysia. SUHAKAM telah memainkan peranan aktif dalam menganjurkan perundingan-perundingan pra-UPR serta sesi taklimat bersama agensi kerajaan, kor diplomatik, masyarakat sivil dan media di Malaysia. Dalam memainkan peranannya sebagai sebuah badan penasihat kepada kerajaan, SUHAKAM telah menyerahkan syor-syor bagi UPR kepada Majlis Hak Asasi Manusia pada bulan Mac. Pesuruhjayapesuruhjaya serta pegawai-pegawai SUHAKAM telah menghadiri sesi penilaian di Geneva dan dalam sesi tersebut Malaysia telah menerima sejumlah 268 syor. Semenjak penubuhannya, banyak kemajuan yang telah dicapai oleh SUHAKAM dalam menambah baik situasi dan keadaan hak asasi manusia di Malaysia. SUHAKAM sentiasa bekerjasama dengan kerajaan, kementerian, organisasi masyarakat sivil dan aktivis bagi mencapai matlamatnya dan akan terus menjalankan tugas dengan tekun dan penuh keazaman bagi mencapai visi hak asasi manusia dihormati sepenuhnya, dilindungi dan dinikmati oleh semua masyarakat Malaysia dalam masa terdekat. xviii LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2018

Select target paragraph3