MANUAL RUJUKAN RUMAH IBADAT
MESRA OKU
SUHAKAM mengenal pasti salah satu aspek penting yang memerlukan
perhatian oleh semua pihak ialah mengenai aspek aksesibiliti OKU di rumahrumah ibadat seperti masjid, gereja, tokong, kuil dan sebagainya.
Sehubungan itu, SUHAKAM telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan
Seminar Rumah Ibadat Mesra OKU pada 20 Oktober 2018 di Masjid Bandar
Seri Putra, Bangi dan pada 18 Mac 2019 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Penganjuran seminar ini bertujuan agar satu resolusi dapat dibentuk ke arah
pelaksanaan rumah ibadat mesra OKU di Malaysia dan dibentangkan kepada
agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Seminar ini telah dihadiri oleh wakil-wakil KPWKM, agensi Kerajaan,
pihak berkuasa tempatan, Badan Bukan Kerajaan Orang Kurang Upaya,
jawatankuasa pengurusan rumah-rumah ibadat, pertubuhan agama, dan juga
wakil-wakil SUHAKAM.
Manual rujukan ini dihasilkan berdasarkan Resolusi Rumah Ibadat Mesra OKU
yang telah dibentuk semasa seminar tersebut. Manual Rujukan Rumah Ibadat
Mesra OKU ini adalah sebagai panduan untuk pengurusan rumah-rumah
ibadat seperti masjid, tokong, kuil, gereja dan sebagainya di Malaysia dalam
menyediakan kemudahan dan aksesibiliti OKU yang memenuhi standard yang
ditetapkan dan menaik taraf kemudahan OKU yang sedia ada.