MODUL HAK ASASI MANUSIA
UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA
Sepanjang tempoh perhimpunan aman, pihak polis trafik dan penguatkuasa Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengiringi perarakan aman tersebut bagi memastikan
keselamatan peserta perhimpunan serta mengawal lalu lintas. SUHAKAM turut menjalankan
pemantauan dan mendapati perhimpunan berjalan dengan lancar tanpa sebarang
insiden kekecohan atau tindakan yang melanggar undang-undang.
Lanjutan daripada penganjuran perhimpunan tesebut, satu laporan polis telah dibuat oleh
pihak PDRM yang mana, laporan polis tersebut ada mencatatkan nama semua peserta
yang berucap semasa perhimpunan aman berlangsung. Kemudian, nama-nama yang
terlibat telah menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk
disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. Keterangan mereka yang
terlibat telah diambil dan dihantar kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan susulan
atau sebaliknya.
Soalan perbincangan:
1. Berdasarkan analisis kajian kes ini menggunakan prinsip PLAN, adakah tindakan yang
diambil oleh polis dikira sebagai pencabulan hak asasi manusia atau bukan?
2. Berdasarkan kajian kes ini, apakah yang boleh ditambahbaik oleh pihak polis?
3. Terdapat persepsi umum yang mengatakan polis kebiasaannya akan menyekat
kebebasan untuk berhimpun dan bersuara kerana ia menambah dan menyukarkan
kerja pihak polis. Adakah persepsi ini benar?
4. Sekiranya anda dilantik menganggotai sebuah Suruhanjaya Penambahbaikan Pasukan
Polis, apakah cadangan yang boleh diutarakan untuk memastikan pengurusan
perhimpunan oleh pasukan polis lebih efisyen dan efektif?
*Walau bagaimanapun, Akta Perhimpunan Aman 2012 telah ditambahbaik dengan
pindaan pada 1 November 2019 setelah mengambil kira hak berhimpun berpandukan
undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Kajian kes 2: Tahanan tukar gari
Olan baru bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebuah Syarikat A yang terletak di
Daerah Johor Bharu. Pada hari kedua dia bekerja, dia telah ditahan bersama-sama tiga
pekerja yang lain semasa satu serbuan yang dijalankan oleh pihak polis di premis tersebut.
Olan dan pekerja-pekerja lain telah ditahan untuk siasatan berkenaan kes “Macau Scam”
yang didakwa telah dijalankan oleh syarikat tempat Olan bekerja. Olan direman di
Ibupejabat Polis Daerah (IPD) JB selama 7 hari. Semasa proses soal siasat, Olan menyatakan
dia tidak tahu sebarang maklumat atau aktiviti berkenaan “Macau Scam” memandangkan
dia baru dua hari sahaja bekerja di syarikat tersebut.
Sepanjang proses reman, Olan telah dibawa untuk siasatan di 5 IPD yang berbeza.
Sepanjang tempoh tersebut, keterangan Olan hanya diambil semasa berada di 3 IPD sahaja
manakala semasa ditahan di lokap 2 IPD yang lain, dia langsung tidak direkod keterangan
dan tidak pernah berjumpa dengan pegawai penyiasat yang menguruskan kesnya. Pihak
polis menyatakan keterangan Olan tidak perlu diambil di setiap balai memandangkan
pegawai penyiasat boleh “copy paste” dari keterangan Olan yang telah direkod di balai
sebelumnya.
49