MODUL HAK ASASI MANUSIA UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA Asas Perundangan 1.17 Asas piawaian perundangan yang mendukung prinsip-prinsip tersebut tertanam teguh dalam undang-undang antarabangsa, menggunakan norma-norma ‘jus cogens’ yang tidak boleh dikompromi, undang-undang adat antarabangsa, kewajiban triti, dan perundangan antarabangsa, serantau, dan kebangsaan. Piawaian ini terpakai untuk semua sistem perundangan dan memungkinkan penggabungan domestik yang mengambil kira kepelbagaian tatacara undang-undang. 1.18 Temubual yang berkesan didasarkan pada piawaian dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Norma perundangan berikut sangat penting untuk memastikan pelaksanaan praktikal kerangka temubual yang berkesan yang diperincikan dalam Prinsip-prinsip ini: a. Kebebasan daripada penyeksaan dan layanan buruk yang lain (hak untuk layanan yang berperikemanusiaan) b. Kebebasan daripada penangkapan dan tahanan sewenang-wenangnya (hak untuk bebas dan mendapat keselamatan) c. Hak untuk dianggap tidak bersalah d. Hak untuk berdiam diri dan tidak dipaksa menginkriminasikan diri (membabitkan diri dengan kesalahan) e. Hak untuk perbicaraan yang adil f. Hak untuk bebas daripada diskriminasi. 1.19 Larangan penyeksaan adalah mutlak, mengikat semua negara, dan terpakai dalam semua keadaan. Kaedah temubual secara paksaan atau tindakan lain yang bertujuan untuk mengaibkan, menimbulkan ketakutan, mendapatkan maklumat atau memaksa pengakuan dari orang yang ditemubual secara paksaan atau ancaman - atau sebaliknya menjejaskan keupayaan atau keputusan seseorang yang ditemubual untuk membuat pertimbangan – boleh membawa maksud penyeksaan atau layanan buruk yang lain. 1.20 Peraturan ketidakterimaan bahan bukti (Exclusionary rule) itu sendiri merupakan norma undang-undang adat antarabangsa yang tidak boleh dikompromi, wujud dalam larangan penyeksaan dan layanan buruk lain. Exclusionary rule memperuntukkan bahawa tidak sah untuk menggunakan maklumat atau pernyataan, termasuk pengakuan atau pengakuan bersalah, yang diperoleh melalui penyeksaan atau layanan buruk yang lain, dalam mana-mana prosiding undang-undang (kecuali terhadap orang yang dituduh melakukan penganiayaan itu, sebagai bukti bahawa pernyataan atau maklumat yang menjadi persoalan itu telah dibuat atau diperoleh). 1.21 Undang-undang antarabangsa menetapkan piawaian spesifik yang relevan dan sedang berkembang maju bagi memastikan individu tidak menghadapi penyeksaan atau layanan buruk lain atau amalan-amalan yang dilarang secara mutlak, seperti kehilangan secara paksa dan hukuman di luar bidang kehakiman, seperti berikut: a. Penggunaan kekerasan ketika tangkapan atau penahanan seseorang untuk diletakkan di bawah jagaan hanya dibenarkan apabila benar-benar perlu dan hanya jika cara-cara lain tidak berkesan atau dijangka tidak memberi kesan yang diharapkan. Ia hendaklah dilakukan mengikut undang-undang dan berkadaran untuk mencapai objektif yang sah dan selalu menghormati hak untuk hidup. 129 

اختر الفقرة المستهدفة3

الاتصال بفقرة
Connect to an entity
Disable highlights
أضف إلى جدول المحتويات