MODUL HAK ASASI MANUSIA
UNTUK POLIS DIRAJA MALAYSIA
19. Kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang hendaklah memastikan
bahawa semua pegawai penguatkuasa undang-undang diberi latihan dan diuji
berdasarkan piawaian kecekapan yang sesuai dalam penggunaan kekerasan. Pegawai
penguatkuasa undang-undang yang dikehendaki membawa senjata api hanya diberi
kuasa untuk melakukannya setelah tamat latihan khas dalam penggunaannya.
20. Dalam latihan pegawai penguatkuasa undang-undang, Kerajaan dan agensi
penguatkuasaan undang-undang hendaklah memberi perhatian khusus kepada isu-isu
etika polis dan hak asasi manusia terutama dalam proses siasatan, dan juga kepada
alternatif penggunaan kekerasan dan senjata api termasuk penyelesaian konflik secara
aman, pemahaman tentang tingkah laku orang ramai, kaedah pujukan, perundingan
dan mediasi termasuklah kaedah teknikal, dengan tujuan untuk membatasi penggunaan
kekerasan dan senjata api. Agensi penguatkuasaan undang-undang harus mengkaji
semula program latihan dan prosedur operasi mereka berdasarkan kejadian-kejadian
tertentu.
21. Kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang harus menyediakan kaunseling
stres untuk pegawai penguatkuasa yang terlibat dalam situasi di mana kekerasan dan
senjata api digunakan.
Pelaporan dan prosedur semakan
22. Kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang hendaklah membangunkan
prosedur pelaporan dan semakan yang berkesan untuk semua insiden yang disebut
dalam prinsip 6 dan 11 (f). Bagi insiden yang dilaporkan selaras prinsip-prinsip ini, Kerajaan
dan agensi penguatkuasaan undang-undang hendaklah memastikan bahawa proses
semakan yang berkesan tersedia dan pihak berkuasa pentadbiran atau pendakwaan
yang bebas bersedia untuk menjalankan bidang kuasa mereka dalam keadaan yang
sesuai. Dalam kes kematian dan kecederaan serius atau akibat serius yang lain, laporan
terperinci akan dihantar segera kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk
semakan pentadbiran dan kawalan kehakiman.
23. Orang yang terjejas oleh penggunaan kekerasan dan senjata api atau wakil mereka
yang sah mesti mempunyai akses kepada proses yang bebas, termasuk proses
kehakiman. Sekiranya berlaku kematian orang berkenaan, peruntukan ini akan terpakai
kepada tanggungan mereka dengan sewajarnya.
24. Kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang hendaklah memastikan
pegawai atasan bertanggungjawab sekiranya mereka mengetahui, atau sepatutnya
mengetahui, pegawai penguatkuasa undang-undang di bawah arahan mereka
menggunakan, atau telah menggunakan, kekerasan dan senjata api secara tidak sah,
dan mereka tidak mengambil semua langkah di dalam kuasanya untuk mencegah,
mengawal atau melaporkan penggunaan tersebut.
25. Kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang hendaklah memastikan
bahawa tidak ada hukuman jenayah atau tatatertib dikenakan kepada pegawai
penguatkuasa undang-undang yang enggan melaksanakan perintah menggunakan
kekerasan dan senjata api, atau melaporkan penggunaan sedemikian oleh pegawai
lain kerana mematuhi Kod Tatakelakuan untuk Pegawai Penguatkuasa Undang-undang
dan prinsip-prinsip asas ini.
123
اختر الفقرة المستهدفة3
الاتصال بفقرة
Connect to an entity
Disable highlights
أضف إلى جدول المحتويات