SUHAKAM 5.0 Pengenalan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Seksyen 4 (1), menyatakan salah satu fungsi SUHAKAM: “untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia” Oleh itu, SUHAKAM banyak menjalankan program pendidikan hak asasi manusia kepada pelbagai kumpulan sasaran. SUHAKAM berpendapat, menggalak dan memberi pendidikan mengenai hak asasi manusia hendaklah dilaksanakan menerusi ilmu pengetahuan, meningkatkan kesedaran tentang nilai, kepercayaan dan sikap serta amalan. Dengan itu, SUHAKAM telah mengadakan pelbagai program untuk memartabatkan hak Orang Asli di Malaysia. Ini termasuklah bengkel mengenai hak Orang Asli terhadap tanah adat, lawatan ke perkampungan Orang Asli serta menganjurkan kem hak asasi untuk remaja Orang Asli. Selain itu, SUHAKAM turut memainkan peranan dalam mengadakan sesi perbincangan dengan agensi Kerajaan mengenai isu-isu Orang Asli sebagai salah satu strategi untuk menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab dalam sama-sama mencari jalan penyelesaiannya. SUHAKAM bercadang untuk meneruskan usaha menyedarkan masyarakat Orang Asli dan agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal dan kesejahteraan Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan sebagai salah satu dari hak asasi manusia yang penting. SUHAKAM sedang berusaha untuk memenuhi beberapa peruntukan yang termaktub dalam beberapa perisytiharan dan konvensyen hak asasi untuk kesejahteraan kaum Orang Asli. 5.1 Program dan Aktiviti yang Dijalankan oleh SUHAKAM 5.1.1 Bengkel Hak Asasi Orang Asli Ini merupakan antara program awal yang diadakan oleh SUHAKAM mengenai hak Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Orang Asal7 di Sabah dan Sarawak. Semasa bengkel ini berlangsung, pemimpin dan masyarakat Orang Asal/Asli, agensi Kerajaan, badan bukan kerajaan dan ahli akademik telah mengambil bahagian dalam sesi perbincangan. Salah satu isu yang menjadi tumpuan adalah hak pendidikan masyarakat ini. 7 Orang Asal merujuk kepada kaum peribumi di negeri Sabah dan Sarawak 37

اختر الفقرة المستهدفة3