Perutusan Pengerusi Suruhanjaya mempertingkatkan lagi keberkesanan mekanisme pengendalian aduan dengan memperkenalkan satu sistem e-aduan pada bulan April bagi menyediakan kaedah yang lebih mudah diakses oleh orang awam dalam mengemukakan aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia. Suruhanjaya terus memantau pelaksanaan hak rakyat untuk berhimpun secara aman di negara ini. Pada tahun ini, Suruhanjaya telah memantau enam perhimpunan awam termasuk perhimpunan BERSIH 4.0 yang berlangsung selama dua hari dari 29-30 Ogos di Kuala Lumpur, Kuching, dan Kota Kinabalu. Suruhanjaya dapat memerhatikan beberapa perubahan yang positif yang amat dialu-alukan berikutan pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), terutamanya dari segi pengendalian oleh pihak berkuasa, khususnya pihak polis, dan juga pengendalian oleh pihak penganjur dan perlakuan orang awam semasa perhimpunan berlangsung. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya mengulangi betapa pentingnya bagi semua pihak yang berkaitan memastikan bantahan dan perhimpunan awam diadakan dalam suasana yang aman kerana hak untuk berhimpun secara aman tidak harus dijadikan alasan untuk mencetuskan keganasan yang hanya akan menjejaskan konsep perhimpunan aman seperti yang ditakrifkan di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Suruhanjaya masih bimbang terhadap keadaan tahanan dan kakitangan yang bertanggungjawab di pusat tahanan. Suruhanjaya telah menjalankan 35 lawatan berkala dan lawatan bersifat siasatan ke pelbagai pusat tahanan di seluruh negara termasuk penjara, pusat tahanan imigresen, lokap polis, serta pusat pemulihan dan rehabilitasi. Pada bulan Oktober, Suruhanjaya dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sama-sama menjalankan lawatan tanpa notis ke Pusat Tahanan Imigresen Machap Umboo di Melaka. Ini merupakan lawatan pertama tanpa notis yang berjaya dijalankan oleh Suruhanjaya susulan daripada mesyuarat bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 24 April 2014. Suruhanjaya amat menitikberatkan tugas pemantauannya dan berpendapat bahawa ia seharusnya dibenarkan untuk mengakses pusat tahanan tanpa notis semasa menjalankan penyiasatan ataupun untuk memerhatikan keadaan tempat tinggal di tempat tersebut – yang mana ini adalah berbeza dengan amalan sedia ada tetapi merupakan perkara biasa di negara lain. Perkara ini telah ditekankan oleh Suruhanjaya ketika bermesyuarat dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, di mana beliau telah mengambil maklum, dan menyatakan kesediaan Kementerian beliau untuk menyokong tugas pemantauan Suruhanjaya. Berhubung dengan perkara ini juga, Suruhanjaya telah mengemukakan kepada Kerajaan sepuluh cadangan pindaan terhadap undang-undang penubuhannya untuk memperkuatkan lagi mandat dan kuasa Suruhanjaya sebagai sebuah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) yang bebas. Salah satu cadangan pindaan utama adalah bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya untuk menjalankan lawatan yang tidak dijadualkan ke pusat tahanan tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu, bagi membolehkan Suruhanjaya memerhatikan keadaan sebenar di dalam tempat tahanan. Malangnya, hampir 2 ANR2016-SUHAKAM-BM Version.indb 2 02/04/2016 3:33 AM

Выберите целевой абзац3