PENGENALAN Di Malaysia, Orang Kurang Upaya (OKU) ditakrifkan sebagai “mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat” (Akta OKU 2008). Pada 8 April 2008, Malaysia telah menandatangani Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan seterusnya pada 19 Julai 2010 meratifikasi Konvensyen tersebut dengan reservasi terhadap Artikel 15 – Kebebasan daripada penyeksaan atau kezaliman, layanan atau hukuman yang tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah dan Artikel 18 – Kebebasan pergerakan dan kewarganegaraan. Matlamat Konvensyen ini adalah untuk mempromosi, melindungi dan memastikan semua orang kurang upaya dapat menikmati segala hak asasi manusia dan kebebasan asasi dengan sama rata dan sepenuhnya dan mempromosi rasa hormat ke atas martabat maruah mereka. Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang berkuatkuasa pada 7 Julai 2008 dengan tujuan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini juga berfungsi untuk mengiktiraf kepentingan kebolehaksesan kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi, kebudayaan, kesihatan, pendidikan serta maklumat dan komunikasi bagi membolehkan penyertaan penuh OKU dalam masyarakat. Komitmen Malaysia dalam memastikan golongan OKU mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain, pihak Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memperkenalkan beberapa dasar dan pelan tindakan nasional bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. Antaranya adalah:

Выберите целевой абзац3