PENGENALAN
Di Malaysia, Orang Kurang Upaya (OKU) ditakrifkan sebagai “mereka yang
mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau
deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat
penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat” (Akta OKU 2008).
Pada 8 April 2008, Malaysia telah menandatangani Konvensyen mengenai Hak
Orang Kurang Upaya (CRPD) dan seterusnya pada 19 Julai 2010 meratifikasi
Konvensyen tersebut dengan reservasi terhadap Artikel 15 – Kebebasan
daripada penyeksaan atau kezaliman, layanan atau hukuman yang tidak
berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah dan Artikel 18 – Kebebasan
pergerakan dan kewarganegaraan. Matlamat Konvensyen ini adalah untuk
mempromosi, melindungi dan memastikan semua orang kurang upaya dapat
menikmati segala hak asasi manusia dan kebebasan asasi dengan sama
rata dan sepenuhnya dan mempromosi rasa hormat ke atas martabat maruah
mereka.
Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Akta Orang
Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang berkuatkuasa
pada 7 Julai 2008 dengan tujuan bagi pendaftaran,
perlindungan,
rehabilitasi,
pembangunan
dan kesejahteraan OKU, penubuhan Majlis
Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya dan
perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini juga berfungsi untuk
mengiktiraf kepentingan kebolehaksesan kepada persekitaran fizikal, sosial,
ekonomi, kebudayaan, kesihatan, pendidikan serta maklumat dan komunikasi
bagi membolehkan penyertaan penuh OKU dalam masyarakat.
Komitmen Malaysia dalam memastikan golongan OKU mempunyai
kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota
masyarakat yang lain, pihak Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memperkenalkan
beberapa dasar dan pelan tindakan nasional bagi menjamin kepentingan dan
kesejahteraan OKU. Antaranya adalah: