SUHAKAM Dalam mengiktiraf kepentingan untuk menambah baik hak kanakkanak di Malaysia, SUHAKAM turut mengalu-alukan pelantikan Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd. Awal sebagai Pesuruhjaya Kanak-kanak pertama Malaysia yang mana mandat dan tugas beliau adalah berdasarkan Akta SUHAKAM. Tahun ini juga tugas menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia tetap menjadi fokus utama, oleh itu SUHAKAM telah menyerahkan laporan Inkuiri Awam Kehilangan Paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat kepada kerajaan. Hasil siasatan ini seterusnya mendorong kerajaan untuk membentuk pasukan petugas khas bagi menyiasat lebih lanjut kehilangan paksa ini. Selain itu, SUHAKAM turut bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan, Fortify Rights untuk menjalankan siasatan berkenaan penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis. Laporan berjudul ‘Sold Like Fish’ ini mempunyai maklumat terperinci berkenaan kem pemerdagangan manusia dan mangsa yang terlibat seterusnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur Besar. Sehingga penghujung tahun 2019, RCI masih lagi dijalankan. Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa tugas SUHAKAM adalah penting dalam menegakkan keadilan dalam kes pelanggaran hak asasi manusia, terutamanya yang melibatkan pihak berkuasa. Kerjasama kerajaan dalam memastikan kes sebegini disiasat adalah penting supaya dapat meningkatkan rekod hak asasi manusia negara. Walaupun SUHAKAM mempunyai hubungan baik dengan kerajaan, SUHAKAM sentiasa memantau komitmen yang dijanjikan oleh kerajaan dan mengeluarkan kenyataan media bagi menyuarakan pandangan SUHAKAM berkenaan perkara yang berkaitan hak asasi manusia. SUHAKAM juga meneruskan mandatnya melalui pelbagai program teras antaranya program SUHAKAM Bersama Masyarakat (SBM) yang diadakan bersama komuniti di kawasan pedalaman, nelayan dan pekebun; bilangan penyertaan sekolah dalam modul Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) telah meningkat daripada 222 sekolah kepada 468 sekolah; dan Kolokium Kehakiman: Penerapan Prinsip/ Norma Hak Asasi Manusia Antarabangsa dalam Proses Kehakiman pada 23 Mac 2019 yang telah dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, mantan Ketua Hakim Negara. xi

Выберите целевой абзац3