Perutusan Pengerusi Hak kepada kebebasan berpendapat dan bersuara adalah penting bagi menggalakkan tadbir urus yang baik dan kemajuan sosial dalam sebuah demokrasi moden, di mana rakyat bebas untuk berbahas dan menyuarakan pendapat atau kebimbangan mengenai dasar awam dan undang-undang yang mempunyai implikasi ke atas mereka atau negara secara keseluruhannya. Hak ini juga penting untuk memenuhi hak asasi manusia yang lain seperti hak kebebasan berfikir, menentukan salah dan benar, dan beragama; hak untuk berhimpun secara aman; hak kebebasan berpersatuan dan hak kepada maklumat. Walaupun penggunaan hak kepada kebebasan berpendapat dan bersuara datang dengan tanggungjawab dan boleh tertakluk kepada sekatan, sekatan tersebut mestilah berasaskan justifikasi yang dibenarkan, seimbang dengan keperluan yang membentuk dasar kepada had yang dikenakan, dan juga selari dengan norma hak asasi manusia antarabangsa. Suruhanjaya mengulangi sokongannya terhadap cadangan ‘Akta Keharmonian Nasional’, yang bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan di antara hak kebebasan bersuara dan keperluan untuk menangani kerumitan masyarakat majmuk di Malaysia. Ia berharap agar Akta ini digubal berdasarkan nilai persefahaman dan perhormatan terhadap hak asasi semua kumpulan dalam masyarakat, serta mengambil langkah untuk menggalakkan keharmonian negara dan pada masa yang sama, menghalang kekerasan atau kebencian agama dan perkauman. Suruhanjaya juga sesungguhnya percaya bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam menggalakkan toleransi dan pemeliharaan hak asasi manusia yang lebih baik, serta mencegah pencabulan hak asasi manusia dalam masyarakat. Sepanjang tahun ini, Suruhanjaya meneruskan usaha mendidik dan mempromosi hak asasi manusia melalui pelbagai aktiviti yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi pendidikan, agensi penguatkuasa undang-undang, ahli masyarakat sivil dan masyarakat akar umbi. Suruhanjaya berbesar hati dengan penerimaan dan kefahaman terhadap hak asasi manusia di kalangan pihak berkepentingan ini, terutamanya sekolah yang mengambil bahagian dalam Program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah (ATHAM) yang diterajui bersama oleh Suruhanjaya dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Walau bagaimanapun, Suruhanjaya mendapati bahawa masih terdapat jurang yang perlu ditangani dalam pelbagai aspek di sekolah Orang Asli dan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Suruhanjaya akan terus memantau dan mengetengahkan isu ini kepada agensi Kerajaan yang berkaitan bagi memastikan hak pendidikan semua kanak-kanak, khususnya mereka yang terdiri daripada golongan rentan, dapat dipenuhi secara menyeluruh. Kajian tematik Suruhanjaya pada tahun 2013 mengenai hak kanak-kanak bermasalah pembelajaran (CWLD) dan warga emas telah menghasilkan dua laporan iaitu ‘Hak kepada Pendidikan bagi Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran’ dan ‘Perkhidmatan Penjagaan untuk Warga Emas dan Sokongan kepada Penjaga’. Suruhanjaya berharap agar laporan ini dapat menjadi pemangkin untuk peningkatan kesejahteraan CWLD dan warga emas di negara ini. Suruhanjaya juga mempergiatkan penglibatannya dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memajukan agenda tentang hak asasi manusia dan perniagaan di Malaysia melalui perbincangan meja bulat dan projek usahasama berkenaan membentuk satu pelan tindakan 2

Выберите целевой абзац3