PERUTUSAN PENGERUSI TAN SRI HASMY AGAM Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Setiap tahun, Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia diserahkan ke Parlimen sejajar dengan Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Ini merupakan Laporan Tahunan ke 12 Suruhanjaya dan yang ketiga oleh anggota Suruhanjaya semasa. Ia merekodkan program dan aktiviti Suruhanjaya dalam memenuhi mandatnya sebagai sebuah badan berkanun untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Suruhanjaya gembira dengan beberapa perkembangan positif keadaan hak asasi manusia pada tahun ini. Suruhanjaya menyambut baik pembatalan tiga Perisytiharan Darurat, dan pemansuhan undang-undang pencegahan – Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Buang Negeri 1959, dan Akta Kediaman Terhad 1933 – kerana kebanyakan peruntukan tersebut melanggar prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa, dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Dalam memastikan langkah-langkah konkrit yang akan diambil, Suruhanjaya berasa kesal apabila sebaik sahaja pengumuman bersejarah pemansuhan ISA dibuat, 13 suspek militan telah ditahan di bawah Akta tersebut. Suruhanjaya berpandangan, ia adalah satu langkah mundur dan tidak konsisten dengan semangat di sebalik keputusan memansuhkan ISA. Pastinya, tindakan tersebut mendapat komen negatif dari dalam dan luar negara yang mendesak Kerajaan agar mempercepatkan proses pemansuhan ISA dan undangundang pencegahan sedia ada yang lain. Suruhanjaya menyedari sepenuhnya keperluan untuk mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan fungsi undang-undang dan ketenteraman, setiap usaha perlu dibuat agar mematuhi standard dan norma antarabangsa. Selari dengan prinsip dan pendiriannya, Suruhanjaya menyeru agar semua tahanan yang masih ditahan di bawah undang-undang pencegahan penahanan dibebaskan, atau didakwa di bawah undang-undang lain dan dibicarakan di mahkamah sebagai sebahagian daripada proses undang-undang yang sewajarnya. 1

Выберите целевой абзац3