Isu-Isu Utama
Suruhanjaya meneruskan perlindungan hak kanak-kanak dalam pelbagai bidang lain. Dalam
menyediakan Laporan CRC 2012 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia telah
mengumpulkan maklumat, dan meminta pandangan kanak-kanak sekolah terhadap isu-isu
tertentu mengenai hak asasi manusia, seperti setakat mana penikmatan kebebasan bersuara,
hak untuk mendapatkan pendidikan, hubungan antara kaum, hukuman rotan dan masalah buli,
kanak-kanak kurang upaya, dan hak anak-anak OA, kanak-kanak pelarian dan tiada status
kewarganegaraan.
Suruhanjaya mendapati bahawa, secara keseluruhan, terdapat kekurangan dalam penglibatan
jentera Kerajaan dalam melaksanakan peruntukan-peruntukan, dan merealisasikan matlamat
CRC. Terdapat juga kekurangan penglibatan oleh Kementerian berkaitan dalam membuat
keputusan yang memberi kesan kepada kanak-kanak, yang mana melanggar semangat CRC.
Oleh itu, Suruhanjaya mengulangi semula bahawa Kerajaan harus mematuhi pendekatan
inklusif dalam menegakkan, mempromosi dan melindungi hak kanak-kanak, berpandukan
prinsip-prinsip dalam CRC. Kerajaan juga mesti melibatkan diri dengan pelbagai pihak
berkepentingan, termasuk kanak-kanak itu sendiri, dalam sebarang proses membuat
keputusan yang berkaitan dengan nikmat untuk mendapatkan hak kewujudan, perlindungan,
pembangunan, dan penyertaan sepenuhnya oleh kanak-kanak.
Selepas Perbincangan Meja Bulat yang diadakan pada tahun 2011 mengenai Konvensyen
Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau
Menjatuhkan Maruah (CAT), Suruhanjaya menyeru Kerajaan untuk menghapuskan hukuman
rotan di sekolah dan mengambil langkah segera untuk mencari pendekatan alternatif dalam
mendisiplinkan anak-anak tanpa memudaratkan fizikal dan mental mereka. Suruhanjaya juga
menggesa Kerajaan untuk segera menghapuskan reservasi kepada Artikel 28(1)(A) CRC dan
Artikel 15 Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), di mana kedua-duanya
melarang penyeksaan. Reservasi kepada Artikel tersebut boleh mencerminkan pengabaian
berterusan Malaysia untuk menghalang penyeksaan.
(b) Wanita
Suruhanjaya juga sedang menyediakan Laporan Bebas 2012 kepada PBB mengenai Konvensyen
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), dengan tumpuan
khusus mengenai tindakan Kerajaan berhubung komen dan syor-syor yang disediakan oleh
Jawatankuasa CEDAW dalam Komen Kesimpulan pada tahun 2006. Antara isu yang dibangkitkan
adalah ketiadaan Akta Kesaksamaan Gender; dwi standard terhadap hak kewarganegaraan
dalam Perlembagaan Persekutuan; penderaan seksual dan keganasan rumahtangga, serta
rogol dalam perkahwinan; hak kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan; kemasukan
peruntukan terhadap gangguan seksual dalam Akta Kerja; cuti bersalin; penyertaan wanita di
tempat kerja; pemerdagangan wanita; hak ibu tunggal; konflik antara Undang-undang Syariah
dan Sivil berhubung dengan perkahwinan; pekerja domestik migran; wanita pelarian atau
pemohon suaka; dan Protokol Pilihan kepada CEDAW.
18