Isu-Isu Utama (b) Kematian dalam tahanan Pasukan polis telah memberi maklum balas kepada permintaan Suruhanjaya supaya dimaklumkan mengenai sebarang kematian dalam tahanan dalam tempoh 24 jam, dengan melaporkan lapan kes sehingga 31 Disember. Suruhanjaya kini sedang merangka Prosedur Operasi Standard untuk mengendalikan kes-kes seumpama itu setelah dimaklumkan. Suruhanjaya serius dalam mengenal pasti cara-cara untuk mengelakkan kematian dalam tahanan dan menegaskan bahawa keselamatan orang yang ditahan tidak boleh dikompromi oleh pihak berkuasa. Dalam hal ini, Suruhanjaya mengesyorkan bahawa pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh pihak polis apabila seseorang itu ditangkap dan ditahan, dan bahawa ahli keluarga dihubungi untuk mendapatkan maklumat mengenai rawatan yang sedang diterima atau keperluan ubat-ubatan. Tahanan yang sakit pula mestilah dirujuk kepada pengamal perubatan. 5. HAK GOLONGAN RENTAN (a) Kanak-kanak Pada bulan Ogos, Suruhanjaya berkongsi kemarahan orang ramai apabila dua individu masingmasing dibebaskan dengan bon berkelakuan baik selepas disabitkan kesalahan rogol statutori – ‘persetujuan’ mangsa kanak-kanak dijadikan faktor mitigasi dalam setiap kes berkenaan. Undang-undang Jenayah mengiktiraf bahawa kanak-kanak mungkin kurang matang untuk memberi keizinan sebenar atau mungkin terlalu dipengaruhi untuk memberikan keizinan sebenar. Terdapat juga larangan hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun, tanpa mengambil kira ‘persetujuan’ daripadanya. Oleh itu, cadangan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang disabitkan kesalahan rogol statutori adalah dipuji. Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan pindaan itu, yang akan dibentang dan diluluskan pada sesi Parlimen yang seterusnya mencadangkan agar budi bicara hakim untuk mengurang atau mengenakan hukuman yang lebih ringan dalam kes-kes kes rogol statutori ditarik balik. Suruhanjaya juga bimbang tentang insiden perkahwinan melibatkan kanak-kanak. Walau apa pun kesahihan perkahwinan itu, Suruhanjaya menarik perhatian pihak berkuasa kepada Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menyatakan, antara lain, bahawa kanak-kanak oleh sebab ketidakmatangan fizikal dan mental, memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk perlindungan undang-undang yang sesuai. Isunya sekarang dalam insiden rogol statutori dan perkahwinan kanak-kanak, sama ada CRC ditandatangani ataupun tidak, Malaysia telah melaksanakan obligasinya setakat mana hak, perlindungan dan kepentingan terbaik serta masa depan kanak-kanak yang berkenaan. 17

Выберите целевой абзац3