Isu-Isu Utama
(b) Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No 2) 2012
Pelebaran akses kepada Internet telah meluaskan peluang bagi organisasi dan individu untuk
menyiarkan berita dan pendapat tanpa had oleh pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, Kerajaan
telah mengambil langkah-langkah pencegahan untuk membendung kebebasan bersuara, atas
dasar ianya menimbulkan ancaman keselamatan.
Satu contoh ialah Seksyen 114A, diperkenalkan oleh Akta Keterangan (Pindaan) (No. 2) 2012 yang
telah berkuat kuasa pada 31 Julai. Sesiapa yang namanya, gambar atau nama samaran muncul
dalam mana-mana kandungan adalah dianggap telah menghantar atau meletakkan semula
kandungan tersebut melalui Internet. Anggapan fakta ini sebenarnya telah diperkenalkan bagi
membantu mengenal pasti dan membuktikan identiti individu yang menyiarkan kandungan
tanpa nama.
Walaupun Suruhanjaya memahami kesukaran bagi membuktikan identiti sebegitu, ia
berpendapat bahawa seksyen ini boleh melanggar hak asasi manusia, khususnya kebebasan
bersuara seperti yang termaktub dalam Artikel 19 UDHR dan Kovenan Antarabangsa mengenai
Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Seksyen ini juga mungkin mempunyai kesan peralihan beban
bukti kepada orang yang didakwa.
Walaupun Suruhanjaya mengakui bahawa keselamatan adalah penting dalam memastikan
keamanan dan kestabilan negara, ia berpandangan bahawa Seksyen 114A Akta Keterangan
mesti dikaji semula atau dimansuhkan, sekali gus melindungi dan menghormati kebebasan
asasi dan hak untuk kebebasan bersuara serta anggapan tidak bersalah sehingga terbukti
bersalah.
4. PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
(a) Penggunaan Kuasa Polis
Suruhanjaya terus menerima banyak aduan terhadap polis, termasuk dakwaan tiada tindakan
dalam menjalankan siasatan, penggunaan kekerasan yang melampau dan penyalahgunaan
prosedur reman. Suruhanjaya sebelum ini telah mengesyorkan bahawa setiap bilik soal siasat
dilengkapi dengan kamera litar tertutup; bahawa setiap tahanan diperiksa oleh seorang doktor
perubatan sebelum dan selepas sesi soal siasat; dan bahawa setiap laporan terhadap pegawaipegawai polis akan disiasat oleh Bukit Aman atau Ibu Pejabat Polis Negeri bagi mengelakkan
andaian berlakunya berat sebelah.
Suruhanjaya selanjutnya mengesyorkan supaya pasukan polis menggunakan sains forensik
untuk menyokong siasatan bagi mengelakkan sentuhan fizikal dengan orang yang ditangkap
terutama semasa soal siasat. Tambahan pula, tiada elemen tekanan fizikal atau mental perlu
dikenakan ke atas suspek, saksi atau mangsa dalam usaha untuk mendapatkan maklumat.
Siasatan awal perlu dijalankan sebelum membuat penangkapan. Latihan berterusan perlu
diadakan berkenaan prosedur penangkapan, hak-hak mereka yang ditangkap dan teknik
melaksanakan penangkapan yang selamat dan berperikemanusiaan.
16