Isu-Isu Utama
(d) Hukuman Mati
Suruhanjaya mengulangi semula seruannya untuk memansuhkan hukuman mati dan
menekankan pendiriannya bahawa hukuman tersebut dianggap sebagai kejam, tidak
berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah. Suruhanjaya mengalu-alukan cadangan untuk
mengkaji semula dan pada akhirnya memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan
mengedar dadah dan untuk membenarkan budi bicara mahkamah dalam menentukan
hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan tersebut. Suruhanjaya telah secara
konsisten menyeru Kerajaan untuk mengenakan moratorium ke atas hukuman mati atau
menggantikan bentuk hukuman dengan penjara seumur hidup terutama bagi mereka yang
telah menunggu hukuman mati selama lebih daripada lima tahun. Di samping itu, Suruhanjaya
menyeru Kerajaan untuk mempertimbangkan Peraturan Minimum Standard Antarabangsa
bagi Layanan terhadap Tahanan, bagi memastikan kesejahteraan banduan, termasuk mereka
yang dikenakan hukuman mati.
Suruhanjaya akan terus menyokong Kerajaan dalam usahanya untuk merealisasikan pematuhan
penuh dengan prinsip-prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa, khususnya UDHR.
Suruhanjaya menyatakan kesediaannya untuk terlibat dalam rundingan berhubung kepada
reformasi perundangan yang berkaitan dengan pemansuhan hukuman mati.
3. HAK KEBEBASAN BERSUARA DAN MEMPEROLEH MAKLUMAT
Hak kepada kebebasan bersuara membolehkan setiap orang menyuarakan pandangan dan
pendapat masing-masing yang mana ia merupakan asas demokrasi. Hak ini, serta kebebasan
memperoleh maklumat, adalah penting untuk penglibatan orang awam dalam membuat
keputusan. Hak ini adalah seiring dengan hak kebebasan berhimpun dan berpersatuan.
(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012
Pada tahun ini, pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah menggugurkan budi
bicara mutlak Menteri berkenaan pengeluaran permit atau lesen bagi operasi percetakan
dan penerbitan bahan-bahan cetakan berkala. Satu lagi pindaan memansuhkan keperluan
memperbaharui permit atau lesen tersebut secara tahunan, sebaliknya membenarkan permit
atau lesen berkenaan kekal sah sehingga dibatalkan. Penubuhan Majlis Media juga turut
disyorkan untuk menegakkan amalan kewartawanan yang beretika.
Ini adalah langkah progresif ke arah menghormati sepenuhnya hak kebebasan memperoleh
maklumat. Suruhanjaya mengalu-alukan pemulihan proses semakan kehakiman yang
membolehkan keputusan Menteri dicabar di mahkamah. Ini menegaskan betapa pentingnya
doktrin sekatan dan imbangan dalam sistem pentadbiran. Bagaimanapun, Suruhanjaya
mengulangi semula bahawa pembaharuan tidak harus dihadkan untuk menangani perkaraperkara prosedur. Undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara mesti dikaji dan hak
untuk mengakses maklumat mesti dilindungi.
15