Isu-Isu Utama • Seksyen 6 membenarkan pintasan komunikasi yang mungkin melanggar kebebasan dan hak privasi individu. • Seksyen 30 mengkehendaki mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, untuk memerintahkan penahanan seseorang sementara menunggu kesemua rayuan dibuat sepenuhnya. Suruhanjaya ambil maklum bahawa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak menjejaskan apa-apa perintah tahanan yang dikeluarkan sebelum 31 Julai melainkan dibatalkan terlebih dahulu oleh Menteri. Oleh itu, Suruhanjaya menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan mereka yang masih ditahan di bawah ISA dan memberi hak kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam. Walaupun pendirian yang tegas adalah wajar terhadap ancaman keselamatan awam dan ketenteraman negara, ini tidak seharusnya menjejaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia. (b) Cadangan Pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan Penggubalan Akta Harmoni Nasional Suruhanjaya mengalu-alukan cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948, iaitu salah satu daripada undang-undang yang telah sekian lama Suruhanjaya menyeru agar dimansuhkan oleh Kerajaan, dan berharap pemansuhan Akta ini dapat memberi penikmatan hak asasi manusia kepada kebebasan bersuara sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan yang termaktub dalam Artikel 19 UDHR. Suruhanjaya terus mengalu-alukan cadangan Akta Harmoni Nasional dan ambil maklum akan niat untuk mengimbangi antara jaminan kebebasan bersuara dan mengendalikan kerumitan masyarakat majmuk di Malaysia. Ia mencadangkan supaya Akta tersebut digubal secara telus, melalui rundingan dengan semua pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya, bagi memastikan pematuhan prinsip-prinsip hak asasi manusia. (c) Pembatalan Proklamasi Darurat Suruhanjaya memuji pembatalan tiga lagi Proklamasi Darurat yang masing-masing dikeluarkan pada tahun 1966, 1969 dan 1977. Ini juga memberikan kesan kepada pembatalan undangundang yang berkaitan, seperti Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, yang melanggar prinsip-prinsip asas hak asasi manusia dengan membenarkan penahanan tanpa perbicaraan. Walaupun beberapa tahanan kemudiannya telah dibebaskan, yang lain perlu menunggu sehingga tamat tempoh yang dinyatakan dalam perintah tahanan mereka. Suruhanjaya menyeru agar tahanan diberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam. 14

Выберите целевой абзац3