Ringkasan Eksekutif Sebagai sebahagian daripada mandat berkanun, Suruhanjaya telah melawat dan memantau 13 pusat tahanan di seluruh negara. Bahagian Inkuiri telah mengadakan dua Siasatan Awam. Siasatan Awam ke Atas Insiden Sebelum dan Semasa Perhimpunan Awam pada 9 Julai 2011 telah berakhir pada tahun 2012. Panel Siasatan telah memanggil 31 saksi yang terdiri daripada 14 orang awam dan 17 wakil dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan; 42 eksibit telah diterima. Tidak lama selepas laporan Siasatan Awam mengenai perhimpunan awam pada 9 Julai 2011 dikeluarkan, satu Panel Siasatan lain dibentuk yang terdiri daripada Datuk Dr Khaw Lake Tee sebagai Pengerusi, dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid dan Pesuruhjaya Detta Samen, bagi menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan awam pada 28 April 2012. Panel Siasatan menjangkakan laporan akan dibentangkan pada awal tahun 2013. KUMPULAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN DASAR Dalam melaksanakan fungsinya untuk mengesyorkan penyertaan Malaysia kepada instrumen hak asasi manusia antarabangsa dan untuk memastikan undang-undang negara adalah selaras dengan instrumen antarabangsa yang berkaitan, Bahagian Penyelidikan menjalankan kajian untuk mendapatkan pandangan mengenai aspek-aspek berkaitan. Ia memantau pelaksanaan obligasi Kerajaan di bawah tiga konvensyen utama yang telah diratifikasi - Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), CRC dan CRPD. Suruhanjaya telah menyediakan Laporan Bebas mengenai CEDAW dan CRC untuk dikemukakan kepada PBB dan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan untuk menyertai enam triti hak asasi manusia antarabangsa yang selebihnya. Suruhanjaya, dengan bantuan Majlis Peguam, bertindak sebagai peguam pemerhati dalam tiga kes mahkamah. Ia terus mengemukakan cadangan kepada Kerajaan untuk meminda Akta penubuhannya untuk membolehkan lawatan ke tempat tahanan tanpa memberi notis terlebih dahulu. Bahagian Pembangunan Dasar telah melibatkan Kerajaan dan organisasi masyarakat sivil dalam Perbincangan Meja Bulat mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, Hak kepada Perumahan Wajar, Hak Asasi Manusia dan Islam dan Hak Orang Asal/Asli (OA). Satu kolokium susulan mengenai ‘Aplikasi Domestik Mengenai Norma-norma Hak Asasi Manusia Antarabangsa’ telah dianjurkan dengan Badan Kehakiman pada bulan September. Mesyuarat telah diatur dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO untuk meningkatkan hubungan kerja. Bahagian Koordinasi Antarabangsa membantu kerja-kerja Suruhanjaya dengan mengambil bahagian dalam aktiviti dan mesyuarat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa PBB NHRI bagi Mempromosi dan Melindungi Hak Asasi Manusia, Majlis Hak Asasi Manusia dan Forum Komanwel NHRI. Suruhanjaya meneruskan aktiviti yang berkaitan dengan kemajuan hak asasi manusia serantau melalui Forum Asia Tenggara NHRI, Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia dan Forum Asia Pasifik NHRI. 9

Выберите целевой абзац3