Perutusan Pengerusi
Kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat adalah antara kebebasan asas -dan
merupakan prasyarat penting dalam sesuatu masyarakat bebas dan demokratik -yang
menjadi tanggungjawab negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk
mempertahankannya. Sehubungan itu, Suruhanjaya gembira dengan tindakan Kerajaan
mengkaji semula dasar penapisan media dan meminda keperluan memperbaharui lesen
tahunan bagi media cetak. Perubahan ini diharap dapat menangani isu utama sekatan kebebasan
bersuara, dan bukannya sekadar perubahan luaran sahaja. Suruhanjaya juga gembira dengan
kelonggaran sekatan ke atas kebebasan bersuara dan aktivis pelajar di kampus, sekaligus
mewujudkan ruang yang lebih demokratik kepada golongan muda. Situasi ini memacu Malaysia
ke hadapan agar seiring dengan amalan antarabangsa.
Berkait rapat dengan perkara ini adalah kebebasan berhimpun, sebagaimana termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan dan UDHR. Malangnya, hak ini masih belum berkembang maju
dalam negara. Oleh sebab Kerajaan menitikberatkan isu keamanan dan keselamatan negara
sejak kemerdekaan, kebanyakan undang-undang negara adalah berorientasikan keselamatan;
dan ini telah menjadi punca utama pertelingkahan antara pihak berkuasa dan orang awam
yang ingin lebih bebas mengamalkan hak mereka. Di sebalik pemansuhan seksyen khusus
Akta Polis dan pelulusan undang-undang yang mengenepikan keperluan mendapatkan permit
polis untuk berhimpun secara aman, masih ada kebimbangan bahawa kuasa budi bicara yang
diberikan kepada polis dan sekatan lain yang terkandung dalam undang-undang baru akan
menyekat, bukannya membantu penganjuran perhimpunan aman. Suruhanjaya mengharapkan
agar undang-undang baru dapat diperhalusi agar mematuhi sepenuhnya piawaian hak asasi
manusia antarabangsa dan untuk sementara waktu, pihak berkuasa dapat membantu dan
bukannya menghalang pelaksanaan hak sejagat ini. Dalam masa yang sama, rakyat juga perlu
melaksanakan hak ini secara bertanggungjawab.
Ekoran daripada perkara ini, peranan polis dalam menangani perhimpunan aman telah
mengundang persepsi negatif di kalangan orang awam. Walaupun peranan utama polis dalam
mengekalkan ketenteraman dan keamanan awam tidak dipertikaikan dan secara umumnya
dihargai masyarakat, sebahagian pendekatan dan prosedur dalam melaksanakan tugas mereka
telah menimbulkan persoalan. Suruhanjaya berpendapat isu persepsi ke atas polis perlu
ditangani bagi memupuk keyakinan orang ramai terhadap polis sebagai badan penguatkuasa
profesional, dan perlunya badan tersebut mencontohi amalan terbaik dunia.
Salah satu hak asasi manusia yang diperuntukkan adalah hak kebebasan beragama. Walaupun
hak ini dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan secara umumnya diperakui, malangnya,
dalam beberapa keadaan tertentu, hak ini telah dihalang daripada diamalkan. Keadaan ini tidak
memberikan gambaran baik ke atas Malaysia yang berbangga sebagai negara yang bertoleransi
terhadap kepelbagaian budaya dan agama rakyatnya. Perkara ini agak membimbangkan
Suruhanjaya yang telah dan akan terus berperanan sebagai perantara, sekiranya perlu, bagi
memastikan hak asasi terus dipatuhi.
Sejak penubuhannya, Suruhanjaya telah memberikan perhatian khusus kepada hak golongan
rentan, termasuklah wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, dan Orang Asal/Asli (OA).
Dalam mempergiatkan promosi dan perlindungan hak golongan ini, Suruhanjaya akan terus
menggesa Kerajaan untuk mematuhi sepenuhnya prinsip dan norma konvensyen atau instrumen
2