BAB 1
Di samping pembangunan modul, SUHAKAM juga dijemput untuk
menyertai bengkel semakan semula silibus IPG pada 3 Mac di Kampus
Bahasa Antarabangsa, Institut Pendidikan Guru. Dalam bengkel tersebut,
SUHAKAM mencadangkan beberapa topik hak asasi manusia dan
ia menjadi kebanggaan buat SUHAKAM apabila dimaklumkan akan
penerimaan cadangan itu yang mana ia telah pun dilaksanakan dalam
Program Diploma Pascasiswazah Perguruan dan Program Diploma
Perguruan Malaysia sejak Jun 2020.
3. CERAMAH DALAM TALIAN
Selaras dengan pembudayaan norma baharu berikutan penularan COVID-19,
SUHAKAM menawarkan ceramah hak asasi manusia secara dalam talian
kepada agensi kerajaan dan universiti awam. Namun begitu, beberapa
agensi menolak tawaran tersebut atas alasan tidak dapat menyediakan
kemudahan yang diperlukan untuk kakitangan menghadiri sesi dalam talian.
Pada bulan September, SUHAKAM menganjurkan sesi ceramah dalam
talian kepada dua buah universiti awam melibatkan pelajar Universiti Utara
Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Objektif program adalah:
i. memberikan pencerahan kepada pelajar tentang isu hak asasi manusia
di Malaysia;
ii. berkongsi maklumat berkenaan gerak kerja SUHAKAM.
a) Ceramah dalam talian kepada pelajar UUM
Sesi ini berlangsung pada 30 Jun dengan penyertaan sebanyak 70
orang pelajar Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) anjuran bersama
SUHAKAM dan SOIS. Pesuruhjaya Datuk Lok Yim Pheng menyampaikan
ceramah bertajuk ‘Dilema Pelarian di Malaysia’. Para peserta mengambil
peluang berkongsi pandangan dan pendapat. Melalui sesi dua hala ini,
ia memberi gambaran mengenai tahap kesedaran pelajar berkaitan hak
asasi manusia antaranya berkaitan:
i. Perihal pentingnya Malaysia mempunyai rangka kerja perundangan
dan pentadbiran untuk melindungi pelarian serta mekanisme praktikal
dalam proses pendaftaran maklumat golongan pencari suaka dan
pelarian.
LAPORAN TAHUNAN 2020
7