SUHAKAM juga menjalankan siasatan terhadap 12 kes kematian dalam tahanan. Enam kes berlaku di penjara, empat di lokap polis dan dua di depot imigresen. SUHAKAM mengulangi pendirian sebelum ini mengenai keperluan untuk menempatkan pegawai perubatan di pusat tahanan serta menambahbaik pengurusan dan pengemaskinian rekod perubatan tahanan. Pada 22 Oktober, SUHAKAM menganjurkan Perbincangan Meja Bulat Menangani Penyakit Kudis Buta di Pusat Tahanan secara dalam talian. Berdasarkan hasil perbincangan, SUHAKAM mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi melaksanakan syor yang dikemukakan. Inkuiri Awam mengenai kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu telah bermula seawal bulan Februari. Sehingga Oktober, seramai 19 orang saksi telah memberi keterangan di hadapan panel. Susulan pandemik COVID-19, perbicaraan inkuiri awam telah ditangguhkan beberapa kali dan akan bersambung pada awal tahun 2021. SUHAKAM dijadualkan untuk menjalani proses akreditasi untuk kali keempat pada Oktober 2020. Sungguhpun begitu proses ini ditangguhkan ke bulan Jun 2021 disebabkan COVID-19. Justeru SUHAKAM telah menjemput pihak pemegang taruh bagi membincangkan dan berkongsi idea mengenai proses akreditasi ini pada 4 Ogos. Ketika sesi perbincangan ini, peserta menyatakan bahawa mereka ambil maklum berkenaan usaha SUHAKAM mempromosi dan melindungi hak asasi manusia tetapi menekankan keperluan mendesak supaya Akta SUHAKAM disemak semula bagi memperkasa mandat dan fungsi SUHAKAM. SUHAKAM ambil maklum mengenai persetujuan Kementerian Luar Negeri menggunakan Pangkalan Data Pengesanan Syor Nasional (NRTD) bagi memudahkan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan cadangan UPR oleh agensi berkaitan. SUHAKAM berharap NRTD dipercepatkan. Bersempena dengan Mesyuarat Tahunan SEANF, SUHAKAM bersama Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) telah menjadi tuan rumah Dialog dalam Talian mengenai Individu Tanpa Kewarganegaraaan pada 25 November. Undangundang berkaitan kewarganegaraan dan imigresen adalah antara halangan politik yang menyebabkan masalah tanpa kewarganegaraan di Sabah berlarutan. SUHAKAM, Komnas HAM dan CHRP akan terus bekerjasama rapat dengan pihak pemegang taruh yang relevan dalam isu ini. xvi LAPORAN TAHUNAN 2020

Select target paragraph3