PERUTUSAN PENGERUSI
TAN SRI HASMY AGAM
Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Sejak penubuhannya pada tahun 1999, Suruhanjaya telah mengemukakan setiap Laporan
Tahunannya ke Parlimen sejajar dengan mandat yang termaktub di bawah seksyen 12 Akta
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Laporan Tahunan yang ke-13 ini
merekodkan aktiviti dan tindakan Suruhanjaya serta syor berkaitan isu yang memerlukan
perhatian daripada pelbagai pihak, antaranya pihak Kerajaan.
Dalam menerajui perkembangan hak-hak sivil, kebudayaan, ekonomi, politik dan sosial
sepanjang tahun ini, Suruhanjaya telah memantau kesan hak asasi manusia hasil daripada
pembaharuan undang-undang oleh Kerajaan; pelaksanaan kebebasan berhimpun dan keadaan
di pusat tahanan. Selain itu, Suruhanjaya turut memperluaskan hak golongan rentan seperti
kanak-kanak, wanita, warga emas, Orang Asal, Orang Kurang Upaya, pekerja migran, pelarian,
pencari suaka dan tahanan.
Suruhanjaya telah menerima 624 aduan yang mana 403 kes adalah di bawah bidang kuasanya.
Suruhanjaya telah menyelesaikan 173 kes dan masih menjalankan tindakan susulan ke atas
230 kes yang selebihnya. Kebanyakan aduan adalah berkenaan kematian dalam tahanan polis;
tangkapan dan penahanan; hak pekerja dan pekerja migran, pelarian dan pencari suaka;
gangguan terhadap pembela hak asasi manusia, empangan Murum; hak kepada pendidikan
atau tindakan pentadbiran sekolah dan pilihan raya kampus.
Suruhanjaya telah melaksanakan tugas pemantauannya dengan mengadakan 30 lawatan
berkala ke pusat tahanan imigresen, penjara, dan lokap polis untuk memantau keadaan
dan situasi tahanan dan banduan serta pegawai yang bertanggungjawab. Suruhanjaya tetap
bimbang terhadap kesejahteraan kanak-kanak di pusat tahanan imigresen terutamanya akses
kepada pendidikan tidak formal dan tempoh penahanan mereka.
1