Bab 2 - Laporan Kumpulan Aduan, Pemantauan dan Inkuiri
permohonan mereka telah ditolak atau mereka diminta untuk terus menunggu. Terdapat juga
permintaan agar proses penempatan pelarian ke negara ketiga dipercepatkan.
Pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf pelarian telah menyebabkan golongan tersebut
semakin terpinggir. Suruhanjaya telah menerima beberapa permintaan untuk mendapatkan
bantuan perubatan dan kewangan disebabkan golongan pelarian mudah terdedah kepada
pelbagai masalah dan risiko.
(e) Pembela Hak Asasi Manusia
Sepanjang tahun ini, Suruhanjaya mengambil maklum isu gangguan terhadap pembela hak
asasi manusia seperti aktivis dari SUARAM dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat KOMAS).
Lena Hendry daripada Pusat KOMAS telah didakwa di mahkamah kerana menayangkan filem
No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka, yang melanggar seksyen 69(i)(b) Akta Penapisan
Filem 2002. Suruhanjaya telah bertindak sebagai peguam pemerhati dalam kes tersebut dengan
bantuan peguam daripada Majlis Peguam.
Aktivis daripada Jaringan Rakyat Tertindas dan beberapa ahli parti politik dan wakil rakyat telah
ditahan semasa aktiviti pencerobohan rumah dan dewan masyarakat di Kampung Hakka di
Mantin, Negeri Sembilan. Mereka ditangkap ketika mempertahankan hak penduduk kampung
kepada perumahan.
(f) Empangan Murum
Sekumpulan masyarakat Penan serta aktivis telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai
pembinaan empangan Murum di Sarawak. Menurut mereka, aktiviti pembinaan telah
menceroboh kawasan tanah adat yang membawa kesan yang besar terhadap kehidupan, sosioekonomi, budaya, tradisi serta kepercayaan masyarakat Penan dan alam sekitar. Masyarakat
Penan mendakwa bahawa mereka tidak pernah dibawa berunding dan tiada sebarang proses
untuk mendapatkan keizinan berasaskan makluman awal, bebas dan telus berhubung projek
tersebut. Tiada sebarang perjanjian yang telah dibuat mengenai isu penempatan semula,
pampasan ataupun remedi kepada masyarakat tersebut.
Sehubungan itu, masyarakat kampung telah membuat sekatan bagi meluahkan bantahan
mereka terhadap projek tersebut. Pihak polis telah dipanggil untuk menyuraikan orang ramai.
Suruhanjaya telah menerima laporan berhubung tindakan pihak polis yang melepaskan
tembakan amaran ke udara serta penahanan yang dibuat ke atas dua orang kanak-kanak.
Suruhanjaya telah menulis kepada Kerajaan Sarawak, Sarawak Energy Board dan pihak polis. Ia
juga bercadang untuk mengaturkan satu mesyuarat di antara pihak berkuasa dan masyarakat
Penan.
(Lihat ‘Laporan Pejabat Sarawak’ di mukasurat 125)
49