Bab 2 - Laporan Kumpulan Aduan, Pemantauan dan Inkuiri
visual yang diserahkan kepada Suruhanjaya, polis dilihat menggunakan kekerasan yang tidak
munasabah seterusnya menyebabkan kecederaan kepada penduduk kampung dan aktivis.
Walaupun polis bertindak berdasarkan kuasa yang diberikan, polis seharusnya mengambil
tindakan secara lebih profesional dalam memelihara keamanan dan semasa melakukan proses
penangkapan. Semasa lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mantin berikutan penangkapan
tersebut, Suruhanjaya mendapati polis bertindak kasar ke atas tahanan; melengahkan proses
merekod kenyataan; dan menafikan hak mereka yang ditahan untuk mendapatkan peguam.
Suruhanjaya mengulangi syor-syornya dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2011 dan 2012
kepada pihak polis berhubung dengan isu tindakan fizikal semasa tangkapan, siasatan dan
layanan kepada mereka yang ditahan. Suruhanjaya mengambil maklum tentang maklum balas
pihak polis terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya 2011 – bahawa mereka sedang mengambil
langkah untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di bilik soal siasat bagi memastikan
ketelusan dan akauntabiliti pegawai polis. Walau bagaimanapun, pihak polis menyatakan
bilangan bilik yang dipasang CCTV adalah kecil berbanding dengan keperluan di peringkat
daerah dan kontinjen.
Berhubung dengan syor Suruhanjaya agar setiap tahanan diperiksa oleh pegawai perubatan
sebelum dan selepas sesi temuduga/siasatan dijalankan, pihak polis menyatakan bahawa
mereka telah bekerjasama dengan pihak hospital mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun,
disebabkan oleh kekurangan pegawai perubatan, Kementerian Kesihatan tidak dapat
menyediakan kakitangan, terutama kepada balai polis yang terletak jauh dari hospital. Polis
mengulangi bahawa kelewatan dalam siasatan akan menjejaskan prestasi mereka serta boleh
mengancam nyawa mangsa bagi kes seperti penculikan.
(c) Hak Pekerja/Pekerja Migran
Sejumlah 45 aduan yang berkaitan dengan pekerjaan telah diterima daripada rakyat Malaysia
dan pekerja migran. Isu gaji merupakan aduan yang paling banyak diterima berdasarkan
dakwaan pekerja bahawa mereka tidak dibayar gaji atau gaji mereka telah dikurangkan. Aduan
yang diterima turut melibatkan kes pemecatan yang tidak mengikut undang-undang, ketiadaan
cuti tahunan dan kegagalan majikan untuk membayar caruman pekerja kepada Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja walaupun potongan telah dibuat daripada gaji mereka. Terdapat juga
aduan berkenaan penganiayaan di tempat kerja dan kekurangan pampasan bagi pekerja yang
terlibat. Suruhanjaya meminta bantuan Jabatan Tenaga Kerja dalam menyelesaikan aduan
dalam kebanyakan kes yang diterima.
Dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2011, Suruhanjaya mengesyorkan bahawa pekerja
migran diberikan pas khas untuk membolehkan mereka terus bekerja sementara menunggu
kes mereka diselesaikan di mahkamah dan pas tersebut harus diberikan secara percuma.
Berdasarkan maklum balas Kerajaan, semua pekerja migran memegang satu Pas Lawatan
Kerja Sementara yang dikeluarkan setiap tahun semasa proses pembaharuan levi. Oleh
itu, pekerja migran tidak memerlukan pas lain sekiranya ingin terus bekerja sehingga kes
mahkamah mereka selesai.
47