Bab 1 - Laporan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam
(d) Perkembangan NHRAP
Seorang peserta memberi komen terhadap kelewatan pihak Kerajaan dalam membangunkan
NHRAP dan menyeru Suruhanjaya memainkan peranan yang lebih proaktif untuk menggerakkan
perkara ini. Suruhanjaya berjanji untuk bekerjasama secara erat dengan YB Senator Datuk Paul
Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam perkara ini.
(e) Lima Isu Tematik untuk Tahun 2013 dan Isu Penting Hak Asasi Manusia Lain
Suruhanjaya ditanya sama ada ia hanya akan berfokus kepada lima isu tematik yang dikenal
pasti dalam pelan strategi 2013 atau turut memberikan perhatian kepada isu penting lain yang
melibatkan kebebasan bersuara dan kebebasan asas. Suruhanjaya memberikan penjelasan
bahawa ia akan terus memantau semua isu yang berkaitan, khususnya cabaran yang dihadapi
oleh para pembela hak asasi manusia.
(f) Laporan NI
Wakil daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membangkitkan
persoalan mengenai tarikh pengumuman awam Laporan NI Suruhanjaya memandangkan
ia akan menjadi satu dokumen rujukan yang penting dalam pembangunan polisi dan garis
panduan pihak Kementerian.
Suruhanjaya menjelaskan bahawa pada asalnya, ia merancang untuk menghantar laporan
tersebut ke Parlimen pada awal tahun dengan harapan laporan tersebut akan diperbahaskan
sepenuhnya, memandangkan kepentingan hasil dapatan dan syor-syor laporan tersebut
terhadap kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asal. Walau bagaimanapun, PRU ke 13 yang
telah diumumkan telah membawa kepada pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN). Oleh sebab itu, Suruhanjaya telah memutuskan untuk menangguhkan pengumuman
laporan tersebut sehingga Parlimen, Kerajaan Persekutuan, DUN dan Kerajaan Negeri yang
baharu telah dibentuk.
2. PERTANDINGAN BOOKLET HAK ASASI MANUSIA DI BAWAH
PROGRAM ATHAM
Suruhanjaya telah melancarkan pertandingan ini di lapan buah sekolah rendah dan sembilan
buah sekolah menengah yang terlibat dalam program ATHAM. Objektif pertandingan tersebut
adalah untuk menilai tahap pemahaman para pelajar tentang prinsip asas hak asasi manusia,
dan juga untuk menerokai tahap kreativiti mereka dalam menterjemahkan nilai hak asasi
manusia kepada booklet yang mesra kanak-kanak melalui kerja berkumpulan.
Suruhanjaya telah menerima penyertaan daripada 26 buah kumpulan, yang mana terdapat
beberapa buah sekolah yang menghantar penyertaan lebih daripada satu kumpulan. Proses
penilaian adalah berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kreativiti dan keunikan, tahap pemahaman
tentang nilai hak asasi manusia dan semangat berpasukan. Hadiah telah disampaikan pada 13
September kepada tiga pemenang bagi setiap kategori:
31