Bab 1 - Laporan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam
(iv) Beban Kerja Pelajar
Sekolah agama yang berdaftar dengan KPM mengendalikan pembelajaran berdasarkan
kurikulum kebangsaan dan kurikulum yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam
Negeri. Pelajar SAR menduduki peperiksaan kebangsaan awam (PMR dan SPM) serta
peperiksaan khas bagi pengajian agama yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam
Negeri. Suruhanjaya berpendapat bahawa sistem ini terlalu membebankan kanak-kanak
dan menafikan hak mereka untuk aktiviti rekreasi.
(v)
Aktiviti kokurikulum
Kebanyakan sekolah tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk aktiviti rekreasi dan
sukan, yang juga merupakan perkara yang tidak diberi keutamaan, khususnya bagi
pelajar yang tinggal di asrama. Pelajar memerlukan peluang untuk bermain dan bersosial
bagi tujuan pembangunan diri sepenuhnya, pembentukan sahsiah dan keyakinan diri.
Memandangkan kebanyakan guru tidak dilatih secara profesional, mereka tidak mampu
membimbing kanak-kanak ini menerusi aktiviti kokurikulum.
(vi) Bantuan Kewangan dan bahan
Kesemua sekolah yang dilawati telah menerima bantuan kewangan daripada KPM
pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, sehingga Oktober tahun ini, sekolah tersebut
masih belum menerima sebarang bantuan kewangan. Dana ini bertujuan untuk urusan
pentadbiran, infrastruktur, latihan guru dan kemudahan perpustakaan.
Suruhanjaya telah dimaklumkan bahawa kanak-kanak yang belajar di SAR swasta terpaksa
membayar yuran penuh bagi peperiksaan awam walaupun Kerajaan telah memansuhkan
yuran ini bagi sekolah di bawah bidang kuasa KPM. Suruhanjaya juga dimaklumkan bahawa
Bahagian Buku Teks hanya membekalkan bantuan buku ke sekolah yang berdaftar dengan
KPM dan Jabatan Agama Islam Negeri. Pelajar di sekolah agama jenis lain perlu membeli
buku teks meskipun Kerajaan mempunyai dasar berkaitan buku teks percuma.
Isu ini membelenggu kebanyakan SAR yang dikendalikan oleh entiti bebas seperti Jabatan
Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Hal Ehwal Agama Negeri,
NGO, syarikat swasta dan individu. Suruhanjaya turut mengambil maklum bahawa
walaupun terdapat beberapa sekolah yang berdaftar dengan KPM atau Kerajaan Negeri
menerima dana, terdapat juga yang tidak memperolehi dana. Ada antaranya masih dalam
proses pendaftaran.
Suruhanjaya berpendapat bahawa bantuan yang diberikan kepada sekolah di bawah
bidang kuasa KPM perlu diperluaskan kepada SAR, tanpa mengira status. Pertimbangan
dan perhatian perlu diberikan kepada SAR bagi membolehkan pelajar berjaya dalam
pendidikan dan kehidupan.
24