Isu-Isu Utama
3. TRITI ANTARABANGSA
Memandangkan Kerajaan masih belum menyertai enam lagi triti teras hak asasi manusia,
Suruhanjaya telah mengadakan satu siri perbincangan mengenai kemungkinan penyertaan
Malaysia terhadap tiga triti teras utama iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil
dan Politik (ICCPR), Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan
(ICESCR), dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi
Perkauman (ICERD).
Suruhanjaya merujuk kepada komitmen Kerajaan yang dibuat semasa kitaran pertama UPR
pada tahun 2009, bahawa ia akan mengambil langkah untuk menyertai empat triti - iaitu ICESCR,
ICCPR, ICERD dan Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak
Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT). Suruhanjaya menggesa agar Kerajaan
mempercepatkan usahanya menerusi Jawatankuasa Tetap antara Agensi mengenai Hak Asasi
Manusia yang telah ditubuhkan untuk mengkaji isu berkaitan.
4. HAK KEPADA PENDIDIKAN BAGI KANAK-KANAK BERMASALAH
PEMBELAJARAN
Walaupun Malaysia telah meratifikasi CRC dan CRPD, Suruhanjaya mendapati bahawa terdapat
sebilangan besar Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran (CWLD) masih lagi tercicir daripada
mendapatkan pendidikan rendah. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan untuk menggalakkan
kemasukan CWLD ke dalam pendidikan rendah yang berkualiti dan inklusif. Suruhanjaya turut
menjalankan misi pemerhatian ke sekolah dan pusat yang dikendalikan oleh NGO. Beberapa
kelemahan telah dikenalpasti di sesetengah sekolah kendalian Kerajaan dari segi ruang
pembelajaran, kekurangan latihan dan peralatan untuk guru pendidikan khas, kekeliruan
guru terhadap Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan kekurangan kemudahan bagi
meningkatkan pembangunan fizikal dan emosi CWLD.
Susulan daripada forum mengenai Hak kepada Pendidikan bagi CWLD yang telah diadakan di
tiga kawasan, beberapa isu telah diutarakan iaitu:
•
Terdapat kekeliruan dalam kriteria kemasukan bagi program pendidikan khas,
terutama sekali peranan agensi Kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan dan
Jabatan Kebajikan. KPM seharusnya menghebahkan kepada orang ramai mengenai
kriteria kemasukan tersebut dan memperbaiki kerjasama antara agensi.
•
Program pencegahan awal harus dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran
integrasi CWLD ke dalam program pendidikan arus perdana.
•
Kerajaan perlu mempertingkatkan kemudahan di sekolah khas untuk memastikan
ianya memenuhi keperluan CWLD, dan mendapatkan penaja korporat untuk bantuan
sekiranya perlu.
11