Ringkasan Eksekutif RINGKASAN EKSEKUTIF Tahun ini Suruhanjaya telah merangka Pelan Kerja bagi mencapai objektif Pelan Strategik yang merangkumi lima bidang tematik hak asasi manusia melibatkan Orang Asal, Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran, Warga Emas, Sektor Perniagaan dan Perjanjian Perdagangan Bebas termasuklah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik. Ini merupakan aktiviti tambahan kepada jadual aktiviti yang padat dalam menghargai dan menerima pakai hak asasi manusia yang mencakupi seluruh lapisan masyarakat termasuk memulakan inisiatif baru bagi memperluaskan skop pelaksanaan dan memberi maklum balas terhadap isu semasa yang perlu ditangani. Seperti biasa, Suruhanjaya bergantung kepada rakan sekutunya serta pembela hak asasi manusia untuk membantu menyampaikan dua matlamat utamanya iaitu mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Ia berinteraksi dengan Kerajaan dan agensinya, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Hak Asasi Manusia Nasional, wakil agensi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), badan profesional dan masyarakat akar umbi. LAPORAN KUMPULAN PENDIDIKAN DAN PERHUBUNGAN AWAM Bahagian Pendidikan dan Promosi telah meluaskan jangkauannya ke sekolah-sekolah melalui perkongsian pintar yang berterusan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hasil kerjasama tersebut, KPM telah menubuhkan satu jawatankuasa berhubung pelaksanaan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Ia juga bersetuju untuk menambah lagi penyertaan 121 buah sekolah dalam program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah (ATHAM), menjadikan jumlah keseluruhannya 138 buah sekolah. Program turut dilaksanakan untuk Sekolah Khas dan di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi untuk menarik perhatian guru tentang aspek hak asasi manusia. Usaha yang sama juga diteruskan kepada guru kanak-kanak Orang Asli dan juga di Sekolah Agama Rakyat. Kemuncak usaha sama Suruhanjaya dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dicapai apabila Universiti Malaya mengesahkan cadangan Suruhanjaya untuk menubuhkan satu Pusat Hak Asasi Manusia di kampus. Bahagian Perhubungan Awam telah meningkatkan pemahaman umum tentang hak asasi manusia menerusi kenyataan media, wawancara dan maklum balas terhadap isu berkaitan kepentingan awam. Terdapat penglibatan secara langsung dengan pihak berkepentingan melalui beberapa program seperti pengumuman awam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2012, Pertandingan Booklet Hak Asasi Manusia di bawah Program ATHAM, Anugerah Hak Asasi Manusia dan panel perbincangan bagi meraikan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. 5

Select target paragraph3