Perutusan Pengerusi
kepada tekanan untuk mematuhi apa yang mereka anggap sebagai standard hak asasi manusia
yang ‘asing’.
Walaupun setiap orang berhak untuk memberi pendapat, Suruhanjaya kesal dengan kegagalan
kumpulan tersebut dalam memahami hakikat bahawa Pengisytiharan Hak Asasi Manusia
Sejagat (UDHR) merupakan satu pengisytiharan yang merangkumi kesemua aspek hak asasi
manusia yang mana Malaysia, selaku Ahli Anggota PBB, harus menegakkannya. Sebaliknya,
mereka tetap berpegang teguh kepada tanggapan salah bahawa UDHR hanya berkaitan dengan
isu seperti kebebasan beragama dan hak komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender.
Kekurangan pemahaman dalam perkara ini dan kelewatan Negara dalam menyertai
konvensyen-konvensyen teras tersebut akan menghalang Negara daripada mengambil langkah
progresif ke arah pencapaian matlamatnya menjadi sebuah Negara maju dalam semua aspek
menjelang 2020.
Dalam menangani isu ini, Suruhanjaya berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan
pemahaman awam terhadap hak asasi manusia menerusi program pendidikan, promosi
dan juga dialog yang konstruktif. Suruhanjaya berpendapat adalah penting untuk semua
orang memahami kepentingan hak asasi manusia kepada demokrasi. Untuk tujuan ini,
Suruhanjaya mempergiatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
dalam mempromosi amalan hak asasi manusia di kalangan komuniti sekolah melalui program
Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah. Suruhanjaya akan menarik perhatian KPM akan
pentingnya menyemai nilai hak asasi manusia di kalangan rakyat Malaysia di peringkat seawal
sekolah rendah seperti yang dilakukan oleh beberapa negara yang lain.
Berikutan peningkatan kesedaran isu hak asasi manusia di kalangan rakyat Malaysia,
Suruhanjaya melihat perkembangannya dalam memainkan peranan yang lebih besar dan efektif
sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI). Oleh itu, Suruhanjaya memperjuangkan
beberapa pindaan tambahan terhadap undang-undang penubuhannya yang bertujuan untuk
mengukuhkan keberkesanan dalam melaksanakan fungsinya sebagai NHRI yang mematuhi
Prinsip-prinsip Paris. Suruhanjaya berharap agar Kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya
terhadap cadangan pindaan Akta ini dan pada masa yang sama, memenuhi komitmennya di
bawah Pengisytiharan Vienna dan Program Tindakan 1993. Kesemua ini mengesahkan peranan
penting NHRI dan keperluan untuk Negara Anggota mewujud dan mengukuhkan NHRI yang
mematuhi Prinsip-prinsip Paris.
Suruhanjaya mengulangi seruannya agar tindakan diambil bagi memastikan Laporan Tahunan
Suruhanjaya dibahaskan di Parlimen. Sebagai sebuah NHRI yang diwujudkan di bawah
Akta Parlimen, Suruhanjaya berpendapat adalah penting bagi penggubal undang-undang
memandang serius isu dan syor yang dikemukakan dalam Laporan Tahunannya. Suruhanjaya
mengulangi advokasinya terhadap penubuhan satu Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai
Hak Asasi Manusia, berikutan pengumuman Kerajaan pada Oktober 2012 tentang usulnya
berbuat demikian. Ini merupakan satu langkah sementara ke arah merealisasikan matlamat
utama bagi mewujudkan satu perbahasan di Parlimen yang sepenuhnya terhadap Laporan
Tahunan Suruhanjaya dan kesemua isu hak asasi manusia yang memperkukuhkan proses
demokrasi.
3