Modul Hak Asasi Pasca UPSR MODUL HAK ASASI MANUSIA PASCA UPSR & PT3 Modul Hak Asasi Manusia Pasca UPSR dan Modul Hak Asasi Manusia Pasca PT3 dibangunkan oleh SUHAKAM dengan sokongan KPM, beserta input dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM. Modul-modul aktiviti ini bertujuan memperkenalkan kepada murid, prinsip-prinsip dan terma-terma hak asasi manusia termasuklah hak kanak-kanak seperti ‘kesaksamaan’ dan ‘tiada diskriminasi’. Pada masa yang sama, ia menekankan kesejagatan dan hubung kait antara satu hak kepada hak yang lain. Modul-modul ini mengandungi aktiviti-aktiviti praktikal yang bertujuan untuk mengajar murid tentang aplikasi hak asasi manusia dengan mengambil kira konteks sosial dan kebudayaan Malaysia. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti di dalam modul-modul ini menggalakkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan peranan aktif daripada murid. Guru-guru hanya perlu membimbing murid dengan memberikan objektif dan strategi setiap aktiviti, serta prinsip-prinsip am berkaitan, manakala, murid dikehendaki menjalankan kajian, mengolah pendapat, membuat pembentangan dan sebagainya. Oleh yang demikian, penyertaan aktif dan pemerkasaan murid untuk mengenal pasti isu dan penyelesaian yang mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia dapat dilaksanakan. Pengajaran dan pembelajaran modul-modul aktiviti ini diharap bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, tetapi juga membentuk keperibadian dan tingkah laku murid yang memelihara hak kebebasan diri serta menghormati, membela dan mempromosi hak asasi orang lain termasuklah keluarga, guru-guru, murid lain dan masyarakat secara amnya. PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MODUL HAK ASASI MANUSIA Sebagai permulaan, program ini diperkenalkan kepada guru dan murid bagi peringkat Darjah 6 dan Tingkatan 3 dari sekolah-sekolah yang terlibat dalam Program ATHAM. Modul-modul latihan ini akan dilaksanakan semasa tempoh selepas tamat UPSR dan PT3 dan sebelum cuti sekolah akhir tahun. Walau bagaimanapun, SUHAKAM berhasrat dan berharap agar modul-modul ini turut dapat diperkenalkan oleh guruguru dari darjah dan tingkatan yang lain. Bagi merealisasikan hak penglibatan (right to participation) berterusan guru-guru dan murid untuk menambah baik pelaksanaan modul-modul ini, SUHAKAM telah melampirkan borang maklum balas guru dan murid untuk memberikan pendapat dan komen untuk penambah baikan. 5

Select target paragraph3