Modul Hak Asasi Pasca UPSR
PENGENALAN
Pendidikan hak asasi manusia didefinisikan sebagai pembelajaran, latihan dan
maklumat yang bermatlamat untuk membina budaya masyarakat yang menghormati
hak satu sama lain tanpa mengira latar belakang seseorang. Pendidikan hak asasi
manusia yang berkesan bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mengenai hak
asasi; tetapi juga memupuk sikap dan tingkah laku yang menyumbang ke arah
mempromosi, membela dan mengamal budaya hak asasi manusia dalam kehidupan
seharian. Khususnya, pendidikan hak asasi manusia mempunyai matlamat-matlamat
berikut :
i)
mengukuhkan rasa hormat terhadap hak asasi manusia dan
kebebasan asasi;
ii)
membangunkan sepenuhnya personaliti dan maruah diri;
iii) mempromosi kesefahaman, toleransi, kesaksamaan dan
kesetia kawanan tidak kira latar belakang individu;
iv) memperkasa setiap individu untuk menyertai secara efektif
dalam masyarakat yang bebas dan demokratik yang dikawal
selia oleh prinsip kedaulatan undang-undang;
v) memastikan dan mengekalkan keamanan; dan
vi) mempromosi pembangunan lestari berteraskan rakyat dan
keadilan sosial.
Oleh yang demikian, pendidikan hak asasi manusia menawarkan pengetahuan dan
kemahiran tambahan kepada proses pengukuhan penghayatan murid terhadap
Ilmu, Nilai Murni, Kewarganegaraan, Peraturan sosio-budaya dan Kemahiran Bernilai
Tambah yang telah pun tersedia di dalam buku-buku teks sekolah di Malaysia.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah ditubuhkan oleh Parlimen
Malaysia melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dan
dipertanggungjawabkan untuk, antara lain, memupuk kesedaran dan menyediakan
pendidikan berhubung dengan hak asasi manusia. Berteraskan mandat ini, sejak
memulakan operasinya pada tahun 2000, SUHAKAM telah berkerjasama dengan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan yang lain untuk
menyediakan pendidikan hak asasi manusia. Pelbagai program ceramah dan
latihan hak asasi manusia kepada murid, guru-guru, siswazah dan pensyarah telah
dijalankan bagi memupuk kesedaran dan menerapkan pemikiran serta tindakan
yang mengambil kira dan menghormati hak asasi manusia.
3